Syria Memanggil, Lufya Menyahut

723705845 2148990289230090 1142738320076261353 n

Pada awal tahun ini, Lufya berkesempatan pergi ke Syria. Lufya ke sana bersama Syria Care setelah bertemu dengan CEO mereka, Puan Sakinah, yang sudah lama Lufya kenal. Beliau mengajak Lufya untuk sama-sama terlibat dalam gerak kerja kemanusiaan yang sedang mereka jalankan di Syria. Kebetulan pada tarikh yang dicadangkan, Lufya tidak mempunyai komitmen lain, jadi Lufya bersetuju untuk menyertai misi tersebut.

Bermulalah persiapan yang agak kelam-kabut kerana masa yang sangat singkat. Tambahan pula, kami akan pergi pada musim sejuk, jadi banyak kelengkapan perlu disediakan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Ramai sahabat Lufya yang membantu membuat persiapan sebelum berangkat.

Maka bermulalah pengembaraan kemanusiaan bagi Lufya.

Perasaan ketika itu sukar untuk digambarkan. Gembira, teruja, tetapi dalam masa yang sama sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga buat seketika, terutama Haura kesayangan Lufya.

Namun, Lufya tahu bahwa Haura adalah seorang anak yang kuat dan memahami. Dia tahu Mummynya bukan pergi bercuti atau makan angin, tetapi pergi untuk melihat sendiri kehidupan mereka yang memerlukan bantuan serta menyampaikan amanah rakyat Malaysia.

Pada hari yang dijadualkan, perjalanan kami bermula dengan lancar. Kami transit di Doha sebelum meneruskan penerbangan ke Damsyik.

Setelah menunggu di pintu pelepasan, kami dibawa menaiki bas menuju ke pesawat. Jauh juga pesawat itu ditempatkan. Lebih 10 minit perjalanan dengan bas sebelum kami tiba. Kami turun, menaiki tangga pesawat dan mengambil tempat masing-masing.

Namun tidak lama kemudian, satu pengumuman dibuat.

Penerbangan dibatalkan.

Kami semua terkejut.

Tanpa banyak penjelasan, kami diarahkan turun semula dari pesawat dan menaiki bas kembali ke terminal.

Apabila tiba di terminal, barulah kami dimaklumkan bahawa keadaan kabus yang sangat tebal di Damsyik menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat dengan selamat.

Lufya sempat melihat sahabat-sahabat dari Syria Care segera menghubungi petugas mereka di Syria kerana sebenarnya pada tengah hari itu sudah ada beberapa program yang dirancang untuk dilaksanakan.

Tetapi itulah hakikat misi kemanusiaan.

Kadang-kadang apa yang dirancang tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Bak kata Puan Sakinah sebelum kami berangkat:

“Bila melaksanakan misi kemanusiaan, kita perlu sentiasa expect the unexpected.”

Kita perlu bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan, sama ada yang kita suka atau tidak.

Dan itu baru permulaan perjalanan kami ke Syria…

Ada yang nak baca lagi pengalaman Lufya sepanjang berada di sana?

Kalau ada, tinggalkan komen. Insya-Allah Lufya akan sambung cerita dalam posting seterusnya.

Lufya Omar,
Ikon Syria Care,
Januari 2026

: Maybank – 5505 1424 0162
https://donate.syriacare.org.my/order/form/AmalAid-MO/Lufya

#travelogmisi
#travelogmisikemanusiaansyriacare

Kongsi Artikel Ini