“Ustazah sebentar lagi kita akan ke Darayya!” saya diberitahu oleh Abu Qusay sahabat yang menjadi peneman dan bantu pandu kami sepanjang trip kali ini.
Saya teruja. Ini kali pertama saya ke Darayya. Sebelum ini saya sekadar mendengar nama tempat ini sahaja dan mendengar kisah-kisah perjuangan mujahidin di situ. Syria Care juga pernah ada farmasi di sana di kala kepungan sudah dimulakan ke atas penduduknya. Namun ia akhirnya musnah akibat serangan tak berperikemanusiaan.
Kereta yang dipandu Abu Qusay membelok ke kiri dan dia berkata “Bermula dari sini adalah Darayya” sambil menunjukkan sebelah kanan jalan. Tapi yang saya lihat hanyalah tanah kosong.
“Kawasan ni ke?” saya bertanya untuk mendapatkan kepastian. Sejauh mata memandang yang saya lihat hanyalah kawasan rata. Saya kebingungan.
“Ustazah nampak tak bangunan putih di hujung sana? Itu lapangan terbang tentera. Bashar dan tenteranya serang kawasan sekitarnya bertubi-tubi. Di sini dulu kawasan perumahan yang padat dengan penduduk. Ramai yang mati dan ramai lagi yang cedera serta yang lain melarikan diri. Setelah itu tentera masuk semula ke sini dan curi kabel letrik dan bingkai tingkap dan pintu. Apa sahaja barang dalam rumah yang boleh digunakan dicuri lalu dijual. Setelah tiada lagi barang untuk mereka curi, bulldozer masuk dan meratakan kawasan ini sehingga keadaannya sebagaimana yang Ustazah lihat sekarang.”
Saya menarik nafas panjang sambil mata melihat kawasan sekeliling. Kalaulah tanpa penerangan itu, sudah pasti saya tidak akan tahu di situ pernah berdirinya bangunan rumah bertingkat. Sudah pasti ada juga kedai dan sekolah. Masjid juga pasti ada.
Sekarang semua lenyap. Andai ada keluarga yang pernah tinggal di sana ingin kembali, tentu sukar untuk mereka mengenalpasti mana kawasan tanah mereka. Kerajaan Bashar merampas tanah milik rakyat untuk kepentingannya.
Saya lalu berdiri di atas tanah kosong itu mengabadikan kenangan sebuah kawasan yang pernah penuh dengan kehidupan namun kini menjadi bukti kekejaman.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care.
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 18.0
Darayya, Barat Ghoutah, Syria
24 Januari 2025
#iamahumanitarianworker #travelogmisikemanusiaansyriacare18 #misikemanusiaansyriacare


