Dari banyak-banyak kem yang saya pernah ziarah untuk sampaikan bantuan, kem ini agak berbeza layanan mereka.
Mereka sangat mesra bersama saya sampaikan bila berada bersama mereka, saya rasakan seperti seseorang yang balik ke pangkuan keluarganya di kampung.
Kanak-kanak berebut untuk berpimpin tangan saya. Kadang nak melangkah pun payah kerana mereka berkerumun di sekeliling. Tapi saya tidak marah malah sangat terharu dan cuba menyantuni mereka sebaik mungkin.
Kaum ibu pula keluar dari khemah mereka lalu memeluk dan mencium pipi saya. Saya memeluk mereka erat.
“Kami rindukan awak” mereka memberitahu.
“Ya saya juga”, saya membalas.
Hampir semua yang berada di situ mengajak saya masuk ke khemah mereka. “Masuk ke khemah kami dulu Ummu Muaz, kita minum shay (teh)”
Memang terasa sukar untuk menolak tetapi dengan lembut tapi tegas saya memberitahu “Saya perlu selesaikan kerja dahulu ya? Kalau ada kesempatan saya akan pergi”.
Sebelum ini pun saya dan tim pernah memasuki khemah mereka dan dihidang air teh panas yang manis leting dan apa sahaja yang mereka miliki. Kadang rasa segan sebab mereka orang susah namun sentiasa besar hati menyambut tetamu yang hadir.
Kalau boleh tak mahu menyusahkan mereka kerana tujuan kita ke sana adalah untuk meringankan penderitaan mereka. Namun nak tolak pun tak sampai hati kerana bila kita menerima kebaikan dari mereka, ia amat memberi mereka kegembiraan yang amat.
Saya tak mahu kecilkan hati sesiapa. Tapi kita hanya manusia yang berusaha.Kedatangan saya di sini pun atas dasar kerja. Jadi bagaimana pun saya ingin duduk bersama mereka, berbual dan bercerita dan berkongsi rasa, saya perlu dahulukan amanah tugasan saya ke sini.
Terima kasih buat semua yang membantu mereka. Saya dan tim menjadi perantara di antara anda dan mereka.
www.syriacare.org.my/dermadisini
Bersama Syria Care, kita bantu.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 16.0
Jumaat, 27 Januari 2024
Arsal, Lubnan
#travelogmisi #travelogmisikemanusiaansyriacare #iamahumanitarianworker #misikemanusiaansyriacare16 #syriacare #winteraid #warmtheirwinter #winter #bumisyam #syria