97 PESAKIT BUAH PINGGANG TUNGGU AJAL

WhatsApp Image 2018-03-30 at 09.29.42

Abdel Razzaq berusia 14 tahun, terbaring di sebuah hospital di utara Bekaa, Lubnan, kerana sakit buah pinggang.

Derita itu ditanggungnya sejak dia dilahirkan.

Keadaan remaja yang berasal dari Aleppo itu dari hari ke hari semakin teruk dan hayatnya kini bergantung dengan mesin dialisis.

Jika dibandingkan dengan pelarian Syria lain, dia beruntung kerana masih mempunyai ibu bapa namun dengan keadaan dirinya yang sakit, kos rawatan yang terpaksa ditanggung amat membebankan.

Setiap minggu, Abdel Razzaq perlu menjalani sekurang-sekurangnya tiga kali dialisis yang mana setiap satu sesi menelan belanja AS100, satu jumlah yang di luar kemampuan keluarganya.

Si bapa, Mohamad tidak mampu menanggung kos itu, juga kerana masalah kesihatan yang teruk dan kini bergantung hayat dengan ubat-ubatan.

“Isteri saya melakukan kerja-kerja pembersihan dan berkebun untuk memberi makan kepada anak-anak, tetapi ia tidak cukup,” katanya sebagaimana dilapor Relief Web.

Abdel Razzaq bernasib baik kerana sejak 2017, segala kos rawatannya ditanggung Syrian American Medical Society (SAMS), namun kebelakangan ini, nasib seakan tidak menyebelahinya lagi kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan turut berdepan dengan kemerosotan kutipan dana.

Kerisauan itu menjadi igauan buruk ibunya, Halime.

“Saya memikirkannya siang dan malam,” luahnya dengan linangan air mata.

“Apa yang boleh saya lakukan untuk membantunya? Tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya tidak boleh balik ke Syria pada masa sekarang, ia terlalu merbahaya,” katanya sebagaimana dilapor portal itu.
Namun begitu, di sebalik derita yang ditanggung, Abdel Razzaq tidak putus semangat.

Berbekalkan mesin jahit yang disumbang seorang wanita Lubnan, dia gagahkan kudrat untuk cuba membantu keluarga.

“Saya menjahit sarung kusyen dan dibawa ke pasar dan dijual saudara lelaki saya.

“Satu hari saya akan kembali ke Syria dan akan menjadi tukang jahit tersohor,” katanya dengan bangga meskipun dalam keadaan terbaring.
Abdel Razzaq antara 218 pelarian Syria yang telah mendapat manfaat rawatan dialisis yang diusahakan NGO sejak 2017, melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) .

Namun begitu, berikutan masalah dana, hanya 121 pesakit mendapat tajaan sehingga 2019, manakala selebihnya terpaksa berdepan dengan risiko dan mungkin terpaksa ditamatkan.

“Terdapat 97 pesakit yang mungkin kehilangan nyawa sekiranya tiada jaminan duit untuk menampung os rawatan, ” kata Pegawai Kesihatan Awam UNHCR, Mona Kiwan.

Kongsi Artikel Ini