YPG RAYU HENTI SERANGAN

women
Sayap politik YPG, Democratic Union Party (PYD) merayu masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Ankara supaya menghentikan Operasi Olive Branch di sempadan Turki-Syria.
 
Kenyataan itu dibuat ketika mereka diasak tentera Turki dan beberapa kawasan strategik yang dikuasai mereka seperti Gunung Bursaya mula berjaya dikuasai.
 
Akhbar atas talian, Middleasteye melaporkan, 69 pemberontak terbunuh di mana 66 daripada mereka terdiri daripada etnik Kurdish sepanjang operasi bermula sejak 20 Januari lalu.
 
Manakala di pihak tentera Turki tujuh disahkan terkorban.
 
Pertempuran di kawasan sempadan dan di bandar Afrin dilapor turut mengakibatkan kehilangan nyawa tinggi di kalangan orang awam.
 
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) yang berpengkalan di Britain, sekurang-kurangnya 40 maut termasuk 12 kanak-kanak.
 
Laporan mendakwa sebahagian besar yang terkorban kerana terkena serangan udara tentera Turki.
 
Bagaimanapun ia disangkal keras Ankara.
 
Selepas operasi bermula minggu lalu, Presiden Reccep Tayyip bertekad menegaskan beliau akan membersihkan keseluruhan sempadan negaranya dengan Syria dari ancaman YPG.
 
Ia dilakukan ketika lebih 2,000 tentera Amerika Syarikat dilapor masih berada di Manbij, 100 kilometer di timur Afrin.
 
Terdahulu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mendesak Washington mengundur segera askarnya di kawasan yang dikuasai pengganas Kurdish sebelum ia memperluas serangan.
 
Dalam laporan yang dipetik akhbar tempatan Turki, Anadolu, jurucakap kerajaan, Bekir Bozdag berkata, Ankara akan membersihkan Manbij, selepas Afrin berjaya dibebas.
 
 

Kongsi Artikel Ini