UNHCR pantau pelarian Syria pulang

12.12

Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjangkakan lebih 250,000 pelarian Syria boleh pulang ke tanah air mereka pada 2019.

Namun begitu, ia bergantung kepada faktor yang perlu diselesaikan seperti proses dokumentasi, paksaan menjadi tentera dan pemulangan semula harta yang dirampas regim Bashar al Assad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa UNHCR berkata, berikutan keadaan yang semakin baik, sebahagian pelarian merancang untuk pulang.

Menurut Pengarah UNHCR bgi Asia Barat dan Afrika Utara , Amin Awad, pada masa sekarang terdapat lebih 5.6 juta pelarian Syria di negara jiran seperti Turki, Lubnan, Jordan, Mesir dan Iraq.

Katanya, angka itu termasuk lebih sejuta kanak-kanak Syria yang dilahirkan di di luar dan mereka yang memiliki sijik kelahiran asing di mana kerajaan Syria telah bersetuju untuk mengiktirafnya.

“Kami menjangkakan, apa yang kami panggil fasa pertama, di mana 250,000 pelarian akan pulang pada 2019. Angka itu boleh naik dan boleh turun mengikut kepada rentak yang sedang kami usahakan dan mengatasi segala masalah yang menghalang mereka pulang,” katanya.

Tambahnya, sejak 2015, 117,000 pelarian telah kembali ke Syria dan sepanjang tahun ini sahaja lebih 37,000 orang telah berbuat demikian.

“Pemulangan ini dirancang, secara sukarela sepenuhnya, dalam keadaan selamat….dan sudah pasti dengan pembabitan UNHCR.

“Sekarang di sebahagian besar tempat perang telah tamat. Kita mempunyai beberapa kawasan yang masih kacau termasuk Idlib, sebagaimana anda tahu terdapat rundingan gencatan senjata dan zon bebas perang,” kata Amin.

Jelasnya lagi, isu berkaitan dengan paksaan menjadi tentera dan nasib mereka yang meninggalkan perkhidmatan dalam tentera dan lari ke luar negara masih menjadi halangan untuk mereka pulang.

Keadaan mereka tidak menentu kerana ia turut membabitkan soal keselamatan.

Selain itu, kekurangan dokumen pengesahan identiti pelarian dan pemilikan hartanah ditambah pula dengan kekurangan pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sanitasi di tempat mereka pulang kelak turut menjadi cabaran.

Dalam kenyataan yang sama, UNHCR juga merayu dana AS$5.5 bilion untuk membantu negara jiran yang menampung pelarian Syria bagi menyediakan kemudahan kesihatan, air, sanitasi, makanan, pendidikan dan sokongan psikologi.

“Keadaan hidup mereka amat teruk kerana hidup dalam buangan dengan berpanjangan. Mereka meminjam duit serta dalam keadaan berhutang dan sebahagian besar hidup di bawah aras kemiskinan. 70 hingga 80 peratus daripada pelarian hidup di bawah garis kemiskinan di negara yang menempatkan mereka,” jelas Awad. Gambar Reuters.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini