Kapal perang pemusnah peluru berpandu Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Donald Cook dilapor telah bergerak ke dalam kawasan membolehkan serangan dilancarkan ke atas Syria.
Kehadiran kapal yang membawa 60 peluru berpandu Tomahawk dikatakan berada 100 kilometer dari Tartus, bandar tepi pantai Syria.
Menurut Wall Street Journal, kehadirannya di kawasan perairan itu telah dipintas pesawat udara Rusia, sebaik ia belayar dari Larnaca, Cyprus.
Bagaimanapun, Ragip Soylu, koresponden Daily Sabbah di Wasington D.C, dalam Twitternya, menafikan dakwaan berkenaan.
“Kedua-dua Pentagon dan Tentera Laut Amerika Syarikat menafikan berita itu,” tulisnya.
Pada status yang lain, Soylu berkata semua laporan berhubung pencabulan ke atas kapal perang USS Donald Cook adalah palsu.
Keadaan semakin genting selepas sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung serangan senjata kimia oleh tentera regim Bashar dan sekutunya ke atas Douma yang membunuh hampir 100 nyawa, pada Selasa berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
Rusia menggunakan kuasa vetonya untuk menentang deraf resolusi bagi menubuhkan pasukan penyiasat berhubung serangan berkenaan.
Ia tindakan kali ke-12 Moscow menggunakan kedudukannya sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan bagi menghalang sebarang tindakan diambil ke atas sekutunya, Syria.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah berikar akan bertindak ke atas regim Bashar dan sekutunya, yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia di Douma pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Dalam kenyataannya, White House berkata, Presiden Trump dan Perdana Britain, Theresa May telah mencapai kata sepakat dan bertegas untuk menghentikan perbuatan itu.
Selain Perancis yang telah lama menunggu masa untuk bertindak, Arab Saudi pada Selasa telah menyatakan kesediaan untuk bersama-sama melancarkan serangan ke atas regim Bashar.