Travelog MKSC 9.0: “Abhe, abhe, abhe..”

10

Abhe, abhe, abhe…

Riuh rendah suara kanak-kanak mengiringi petugas Syria Care bertandang ke kem Syuhada di Azaz pada 9 Mei lalu.

Dalam keadaan comot mereka berkerumun mengiringi kami ketika berziarah ke sana. Adakalanya ia menghadkan pergerakan kerana dikelilingi berpuluh anak-anak kecil. 

Wajah-wajah mungil dengan tanpa segan yang menawarkan diri untuk dipimpin tangan akan menjadi kenangan terindah kepada para petugas pada misi kali ini. 

Di bawah panahan terik matahari dengan angin dingin, teriakan itu tidak pernah sunyi sejak tiba pada jam 4 petang.

Alunan panggilan masih kedengaran meskipun selepas kami semua memasuki bangunan dua tingkat di situ.

Kalau tidak dihalang para polis tempatan, mereka akan tetap berkerumun hatta di luar tandas.!

Ketika menyaksikan matahari terbenam, dari tingkat satu yang juga bangunan menempatkan masjid di kem itu, para petugas diberi kejutan.

“Hei dia baling bunga.” kata salah Epie dan Athirah, dua petugas Syria Care.

Bukan sebarang bunga yang dibaling, tetapi jambakan yang diikat dengan tulang.

“Nasib baik bukan batu. Kalau kena kepala benjol.

“Jambakan bunga dengan tulang, apakah ia membawa makna. Bunga untuk keceriaan dan harapan dan tulang mengenai penderitaan mereka,” aku bermonolog dan cuba menafsir maksud yang tersirat dan pada masa sama ketawa kecil bersama petugas lain.

Kami merasakan diri masing-masing seakan personaliti. Rasanya sepanjang menyertai misi kemanusiaan, ini pertama kali diberi sambutan sebegini, di kem yang majoritinya di huni para balu yang menjadi mangsa konflik di Syria.

Indah sungguh matahari terbenam di sini, sehingga semua kami tidak melepaskan peluang untuk merakam detik-detik indah itu. Ditambah lagi dengan kemesraan para petugas dan polis tempatan.

Ketika waktu berbuka, petugas dipisahkan lelaki, berada di tingkat satu dan kaum hawa pula di bawah.

Kami tidak boleh lama di sini kerana ia amat berisiko berada di dalam Syria pada waktu malam termasuk urusan dengan pihak keselamatan Turki di pintu sempadan.

Banyak kenangan terindah pada Khamis, 9 Mei 2019. 

Sebelum tiba di kem Syuhada, buat pertama kali kami merasai kenangan bergambar dalam ladang gandum yang mulai menguning. Buat pertama kali juga kami berada dalam ladang pokok ketumbar.

Jakun sungguhkan.!

Di sebalik sambutan itu, ketika perjalanan pulang, kami dikejutkan dengan situasi oleh pemandu Turkiye Diyaniet Vakfi (TDV), bahawa remaja di kem itu kini diancam gejala dadah dan kadar jenayah yang tinggi.

Dalam kegelapan malam menuju ke pintu sempadan, aku dan Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, terdiam…

Apakah ini satu lagi episod malang remaja Syria.?

Razali Awang
Syria Care

Kongsi Artikel Ini