Penduduk dah tak hairan [METROTV]
Afrin: Bukan setakat tentera dengan kenderaan berperisai, malah kelibat pejuang tempatan menggalas senjata turut memenuhi setiap ceruk dan laluan utama di bandar ini.
Pemandangan itu dapat dilihat wartawan dan jurugambar yang berjaya memasuki wilayah ini seterusnya ke bandar Afrin bersama petugas misi kemanusiaan Syria Care diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, semalam.
Wartawan difahamkan penduduk sudah lali dengan keadaan itu selepas tentera Turki berjaya membebaskan wilayah ini daripada pendudukan pemberontak Kurdish menerusi Ops Dahan Zaitun (Olive Branch Operation), Mac lalu.
Sejak itu, boleh dikatakan hampir setiap lorong atau laluan utama dalam bandar ini dipenuhi kumpulan tentera berpakaian seragam atau pejuang bersenjata tempatan yang ditugaskan berjaga-jaga sepanjang masa.
Malah, ketika kami dibawa menyertai program sambutan Maulidur Rasul di Masjid Abo Bakr Al Sadiq yang turut dihadiri Mufti Afrin, kawasan sekitarnya dikawal ketat anggota bersenjata menggunakan kenderaan berperisai Condor APC.
Ia kerana kami difahamkan, kejayaan tentera Turki mengusir pemberontak Kurdish turut memberi tamparan kepada rejim Bashar Al Assad yang mungkin cuba merampasnya semula.
Penduduk Afrin, Hassan Mohammed berkata, mereka membiasakan diri dengan keadaan itu dan kini hidup lebih tenteram berbanding ketika wilayah berkenaan berada dalam cengkaman pemberontak Kurdish atau tentera Bashar.
Bagaimanapun, Hassan mengakui, pemandangan tentera atau individu bersenjata itu berbeza sebelum berlakunya revolusi yang tercetus di Syria pada 2011.
“Ya, seperti anda lihat di mana-mana saja di kawasan terutama di bandar ini memang dipenuhi individu bersenjata.
“Sebelum berlakunya revolusi, keadaan tidak seperti hari ini. Tiada kelibat tentera atau individu bersenjata di mana-mana.
“Cuma bezanya kehadiran mereka di sini lebih disenangi penduduk berbeza keadaan sebelum ini ketika dikepung pemberontak Kurdish, menyebabkan kami takut untuk keluar kerana bimbang ditembak,” katanya ketika ditemui dalam program Maulidur Rasul di Masjid Abo Bakr Al Sadiq, semalam.
Hassan berkata, dia berharap kehadiran tentera Turki itu dapat mengekalkan keamanan di Afrin.
“Sekarang ini, Afrin menjadi antara wilayah selamat diduduki dan tempat berlindung penduduk Syria terutama dari bahagian timur dan selatan yang melarikan diri daripada serangan pemberontak bersenjata seperti Daish, Kurdish selain tentera Bashar.
“Jadi, saya harap ia kekal selamat pada masa depan,” katanya.
‘Dulu kawasan ini sangat teruk’
“Dulu kawasan ini sangat teruk. Ketika diduduki pemberontak Kurdish segala aktiviti dan perniagaan terhenti, bandar ini bagaikan mati,” kata Mufti Afrin, Sheikh Salahaddin Karow menceritakan keadaan di kawasan itu ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun mereka kini boleh membangunkan semula bandar Afrin serta kawasan di wilayahnya selepas kehadiran tentera Turki yang berjaya mengusir pemberontak Kurdish.
Katanya, sebelum operasi pembersihan dilakukan tentera Turki, penduduk tidak berani keluar dari rumah sejak 2012 dan segala aktiviti penduduk, perniagaan serta ekonomi dijalankan secara sembunyi dan tertutup.
“Penduduk di sini dulu takut menjalankan perniagaan, takut membuka kedai kerana bimbang kehadiran pemberontak Kurdish.
“Ini kerana, bila-bila masa saja mereka (pemberontak Kurdish) boleh datang atau menembak dari jarak jauh terutama apabila melihat sebarang pergerakan di dalam bandar ini,” katanya
Sheikh Salahaddin berkata, penduduk paling terkesan tinggal di pinggir serta luar bandar Afrin seperti di ladang sayur dan ladang zaitun.
Katanya, ia kerana kawasan berkenaan menjadi antara lokasi pemberontak bersembunyi dan melancarkan serangan hendap dari jauh.
“Corak serangan itu yang paling kami takuti kerana tiba-tiba saja penduduk rebah dan maut terkena tembakan dari jauh.
“Itu belum lagi tembakan roket atau bom dilancarkan pemberontak,” katanya.
Menurutnya, dulu hampir setiap hari ada penduduk di situ terbunuh akibat serangan pemberontak.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018
Tulisan Mohd Azam Shah Yaacob dan jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman