3 Disember 2018.
Hari ketiga (Bahagian ketiga)
Baiklah mari kita sambung perkongsian berkenaan ziarah kami ke kilang roti dan dapur Diyanet Vakfi Turki (TDV) yang terletak berhampiran pintu sempadan Turki Syria.
Pada misi Ramadan lalu, hasil sumbangan rakyat Malaysia berjumlah AS$12,000 telah diinfakkan bagi membeli periuk-periuk di dapur ini yang menyediakan makanan untuk 15,000 keluarga setiap hari. Bukan sahaja periuk tetapi pihak Syria Care juga telah membayar bagi pembelian gas agar proses penyediaan makanan dapat dijalankan secepat mungkin pada waktu itu.
Dan kali ini pihak TDV telah mengadu kepada kami berkenaan kesulitan yang mereka hadapi di kilang roti mereka.
Pembakar roti sedia ada, tidak lagi mampu menampung kapasiti sedia ada dan keadaan menjadi kritikal seandainya ia rosak. Sekarang pun ianya tidak dapat digunakan dalam satu tempoh yang lama. Kerap dihentikan bila mula panas.
Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan. Bayangkan kalau ia gagal berfungsi, pasti pelarian akan kelaparan. Setakat ini kilang roti ini mampu membakar sekitar 65,000 keping sehari.
Saya terfikir ” Ramainya yang bakal dapat manfaat dari dapur ini. Kita harus membantu mereka”. Ya, pelarian sentiasa bertambah. Ada yang lahir dan ada juga yang baru tiba dari seberang sempadan. Itulah hakikat sebenar di sini. Bila semakin ramai, ia bermakna keperluan juga akan bertambah.
Selepas berbincang dengan pihak pengurusan dan kewangan di Malaysia kami bersepakat mengeluarkan peruntukan AS$2,500 bagi membeli pembakar atau oven roti tambahan.
Begitulah kerja-kerja kami.
Bukan semuanya dirancang. Ada sahaja keadaan mendesak yang mendorong kami membuat keputusan segera. Kerana itu sumbangan umum sangat penting untuk masa-masa begini.
Terimakasih di atas sumbangan dan sokongan anda. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah anda.
Siti Sakinah Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Pengerusi Syria Care