Igauan Du’ana.
Afrin, Syria: “Saya tidak mahu balik. Rumah kami sudah hancur kena bom. Ada yang mati, saya takut,” kata Du’ana Ahmad, 6, seorang daripada kanak-kanak di negara ini yang melihat serangan pemberontak bersenjata di kawasan tempat tinggalnya di Ghoutah, tahun lalu.
Du’ana adalah ribuan penduduk Ghoutah yang kini berlindung di Afrin, salah satu wilayah bebas daripada ancaman perang dan berada dalam kawalan keselamatan tentera Turki.
Malah, dia antara ribuan atau mungkin jutaan kanak-kanak Syria yang menderita serta trauma akibat perang saudara di negara ini.
Ketika mula-mula dihampiri wartawan untuk ditemubual, kanak-kanak itu takut dan cuba melarikan diri.
Kami dimaklumkan yang kebanyakan kanak-kanak Syria trauma apabila melihat orang asing terutama lelaki kerana bimbang diculik, ditembak atau dibunuh.
Jadi, apabila melihat kelibat atau ditegur orang asing, biarpun di khalayak ramai, mereka takut.
Malah, kanak-kanak itu turut takut apabila ditanya sama ada dia ingin pulang semula ke tempat tinggalnya di Ghoutah kerana bimbang dihantar pulang ke sana.
“Tidak…Saya sudah gembira berada di sini. Di sini selamat dan ada ramai kawan.
“Di sini juga saya dapat bersekolah,” katanya yang kini menyertai kelas mengaji di Afrin bersama kanak-kanak senasib dengannya.
Turut berkongsi kisah sama adalah Khadeeja Hallaf, 7, yang melarikan diri dari Ghoutah ketika serangan pemberontak tahun lalu.
Khadeeja berkata, biarpun terselamat, detik serangan itu masih bermain di fikirannya.
“Memang takut. Saya berada di luar rumah dengan rakan-rakan pada waktu itu.
“Tiba-tiba kawasan kami tinggal bergegar dengan letupan dan bunyi tembakan. Mereka ramai dan datang dengan menaiki kereta,” katanya.
Menurut Khadeeja, antara perkara paling diingati apabila mendengar puluhan atau mungkin ratusan bom meletup berselang-seli di kawasan tempat tinggalnya.
“Banyak rumah rosak dan penuh dengan asap hitam.
“Bunyi sangat menakutkan dan kami lari masuk ke rumah untuk bersembunyi,” katanya.
Khadeeja berkata, selepas tiga hari serangan berlaku, dia bersama bapa, ibu serta dua abang dan kakak dapat melarikan diri keluar dari Ghoutah dengan menaiki kereta seterusnya ke Afrin.
“Di sini (Afrin) lebih baik, tiada bunyi tembakan atau letupan.
“Saya gembira di sini dan tidak akan pulang ke sana (Ghoutah),” katanya.
Tulisan Mohd Azam Shah Yaacob dan jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman