Travelog MKSC 6.0 : Rindu kenangan di dalam Syria

23

Catatan Misi #7

Entah kenapa, tiba-tiba terasa rindu dan terkenang-kenang pengalaman pahit manis menjejaki bumi bertuah Syria lewat Mei lalu.

Masih kukuh dalam ingatan, wajah-wajah insan yang kental bertahan di bumi ini. Mereka ini Allah pilih untuk ujian sebegitu rupa. Kita ini Allah pilih untuk mengambil ibrah dari ujian mereka.

Syria adalah sebahagian bumi Syam yang disebut di dalam Al Quran. Syria dahulunya indah kini musnah hampir setiap inci sudut buminya selagi mana mereka menafikan kepemimpinan yang masih bertakhta.

Gambar ini saya rakam secara berhati-hati kerana pada mulanya kami diperingatkan agar tidak mengambil sebarang gambar di check point sempadan memasuki Syria. Dan kami juga tidak dibenarkan membawa masuk kamera dan sebarang alatan perakam. Alhamdulillah telefon peribadi tidak menjadi masalah.

Setelah melalui beberapa fasa cabaran untuk membolehkan kami ke dalam Syria, dengan rasa bersyukur dalam debaran, kami Allah izin menjejak kaki di Syria. Sungguh tidak mudah urusan ini. Namun alhamdulillah.

Melepasi dua tiang bendera Syria ini, saya lihat beberapa orang yang bersenjata yang barangkali mengawal suasana di situ. Kereta kebal yang lalu di sebelah van kami juga menambahkan kegusaran dalam hati saya.

Niat kami hanya satu, sebagai manusia yang ingin membantu manusia lain dan sebagai pembawa amanah dermawan budiman dari Malaysia dan negara sejiran bagi menyantuni mereka yang menjadi mangsa konflik kemanusiaan di Syria.

Kebetulan kami ini adalah musafir, dan bermusafir pula di bulan Ramadan yang mulia, Ustazah Sakinah ketua kami tidak putus-putus mengingatkan kami supaya berdoa dan berzikir sepanjang perjalanan menuju destinasi.

Bermusafir dan berpuasa selama 16 jam dalam keadaan cuaca terik 37°C memang mencabar jati diri dan keimanan kami.

Perjalanan ini menguatkan jiwa. Ada ketika jiwa rabak melihat kesan runtuhan bangunan dan kemusnahan sekeliling. Ada ketika hati bagai dikoyak-koyak melihat penempatan dan kehidupan insan di sini khasnya kanak-kanak . Ada ketika pula, kami melalui tanah-tanah subur dan barakah, tanaman mekar membahagiakan. Kentang, gandum, buah zaitun.. Subhanallah.. Ternakan yang sihat dan baik juga seperti rahmat buat mereka.

Tidak sekali-kali mereka berdiam diri dan pasrah dengan bencana yang menimpa. Mereka bangkit berusaha melakukan sesuatu bagi meneruskan kelangsungan hidup. Kuat sungguh jiwa dan kebergantungan mereka pada Yang Esa. 

Banyak lagi pengalaman dan kenangan yang terakam kukuh dalam kotak fikiran saya. Tidak terluah. Mungkin kalau dikongsi, tak larat agaknya kalian nak membaca…

Namun itulah hakikatnya sebuah perjalanan melepasi dua tiang bendera itu. Saya mohon Tuhan mengizinkan saya kembali menyantuni mereka. Dan saya mohon Tuhan sentiasa memelihara mereka dan kita. 

Syria, sebuah perjalanan menyantuni manusia.

Nurdieana Mohd Mardzi
Misi Kemanusiaan Syria Care
18/5/2018 (ketika gambar ini di ambil)

#misikemanusiaansyriacare
#SyriaCareforhumanity
#SyriaCare

Kongsi Artikel Ini