Anak kecil ni usianya baru mencecah 4 tahun. Tetapi telahpun mempelajari ilmu AlQuran dan mula menghafal meskipun masih bertatih memahami.
Ketika ini, saya dan team Syria Care mengambil peluang menziarahi Maahad Muhajirin dan Ansar yang berpusat sementara di salah sebuah masjid di Antakya, Turki.
Walaupun pelajar tidaklah mencecah ratusan, tetapi mereka yang ada ini sangatlah istiqamah menghafalkalam Allah. Rata-rata ketika ditanya, ada yang telahpun tamat. Ada juga yang sudah menghafaz belasan juzuk. Terasa hina diri ini, sudah berdekad usia tetapi masih dengan kaedah mengaji biasa-biasa saja. Allahu…
Namun apa yang lebih istimewa saya fikir ialah bantuan yang disumbangkan oleh masyarakat Malaysia kepada mereka membolehkan mereka terus bertahan menguasai ilmu.
Saya terfikir betapa beruntung mereka yang memberi sumbangan kerana aliran pahala mengalir seperti air yang deras. Kanak-kanak ini terus setiap hari membaca dan menghafaz alquran. Dalam proses pembelajaran mereka secara perlahan mempraktikannya. Kemudian kelak, mereka mengamal dan mengajarkan kepada yang lain.. Proses pembelajaran yang panjang seiring aliran pahala penyumbang yang terus bergerak… Hebatnya janji Allah bagi orang yang bersedekah…
Terima kasih buat sikecil ini kerana memberi inspirasi kepada saya untuk istiqamah mempelajari dan memahami AlQuran.
Anda bagaimana?
Nurdieana Mohd Mardzi
18/5/2018
Antakya, Turki