Travelog MKSC 5.0 : Kehidupan pelarian Syria di sempadan Syria-Turki

8

KEHIDUPAN PELARIAN SYRIA DI SEMPADAN SYRIA-TURKI

Perjalanan masuk pasukan petugas Syria Care ke dalam bumi Syria melalui pekan-pekan koboi dipenuhi debu akibat jalan yang tidak diturap. Jalan yang berlubang-lubang itu tambah buruk apabila hujan yang turun menyebabkan jalan lecah dan kotor.

Di kiri kanan jalan kelihatan orang ramai yang mencuba sehabis mungkin untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang sangat terdesak. Kedai-kedai kecil didirikan menjual keperluan harian yang paling asas. Khemah-khemah penuh kelihatan memberi perlindungan ala kadar kepada ribuan rakyat Syria yang cuba mencari perlindungan dari serangan udara tentera Bashaar dan sekutunya. Namun mereka tiada akses untuk air bersih dari paip dan letrik di khemah-khemah mereka.

Masjid-masjid didirikan pihak Turkiye Diyanet Vakfi iaitu badan agama di bawah kerajaan Turki samada yang didirikan dalam bentuk khemah-khemah di setiap penempatan kem di sini mahupun masjid-masjid yang dibina kukuh yang menyediakan bukan sahaja ruang solat malah ruang pembelajaran bagi anak-anak pelarian di sini.

Kawasan yang kami lalui ini asalnya berada di bawah penguasaan pihak IS. Jelas kelihatan kesan rumah-rumah yang telah diletupkan dan senget rebah ke bumi di sini. Namun kini tentera kerajaan Turki yang memantau sepenuhnya kawasan ini. Ini menjamin keselamatan buat mereka yang berada di sini. Kereta kebal tentera Turki sekali-sekala kelihatan melintasi kami. Malah polis Turki juga kelihatan berdiri mengawal suasana di kawasan yang berada lebih kurang 40km dari sempadan Syria-Turki. Namun mata saya tak lekang melihat ke langit yang seluas mata memandang.Terbayang di kepala ketakutan yang dilalui oleh mereka yang hidup di kawasan yang seringkali diserang tentera udara Bashaar dan sekutunya. Semakin faham bila teringatkan gambar-gambar yang pernah dilihat sebelum ini apabila mereka kelihatannya mendongak ke langit sentiasa. Bukan menantikan sesuatu yang gembira namun dalam keadaan berjaga-jaga akan semua kemungkinan yang mungkin berlaku. 
Kanak-kanak kelihatan bermain di padang yang luas di kiri kanan jalan. Rupa mereka kotor dek kerana debu yang berterbangan. Namun mereka tetap cuba bergembeira dengan sedikit yang mereka ada. Kebanyakan dari mereka tidak mendapat akses kepada pendidikan. Tidak mendapat peluang untuk ke sekolah seperti anak-anak kita. Namun masih ada yang bernasib baik. Mungkin tidak semua yang dapat dibantu. Namun masih ada segelintir yang berpeluang dan mereka benar-benar menghargainya dan menggunakan peluang belajar sebaik mungkin.

Travelog Misi Kemanusiaan Syria Care
31 Oktober 2017
Maarat, Syria.

Kongsi Artikel Ini