Travelog MKSC 5.0 : Hari pertama di sempadan Turki-Syria

1

Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0
Hari pertama di sempadan Turki-Syria.
24/10/2017.

Perjalanan awal pagi ni membawa kami melalui kawasan pertanian dan perumahan. Memang negara Turki kaya dengan hasil buah-buahan dan sayurannya yang begitu segar dan bermutu tinggi.
Di antara petak-petak tanaman itu kami terlihat khemah-khemah didirikan. Lalu sahabat kami menyatakan mereka itu tiada lagi tempat berteduh setelah melarikan diri ke daerah ini dan membina khemah-khemah sebagai tempat berlindung diri. 
Saya terus terfikir sejenak.
Bukit di sebelah belakang itu adalah Syria. Kampung halaman mereka yang terpaksa mereka tinggalkan kerana peperangan yang tiada belas kasihan kepada mereka. Barangkali rumah mereka telah hancur rebah ke bumi. Harta mereka musnah dan hilang. Dan kini mereka merempat di negeri orang. Mengharap belas manusia lain yang masih ada empati dan kemanusiaan dalam diri mereka.
Pagi ini cuaca dingin. Kami semuanya berjeket. Saya terfikir lagi. Bagaimana mereka yang di dalam khemah tersebut? Bagaimana mereka akan melalui musim sejuk yang bakal tiba? Apa yang dapat mereka lakukan untuk memanaskan diri?
Terlalu menyesak dada untuk saya memikirkan semua itu. Sama-sama kita lakukan sesuatu buat rakyat Syria yang menjadi mangsa.

Ustazah Sakinah Omar
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care
Sempadan Turki-Syria

Kongsi Artikel Ini