TIGA TAHUN JADI HAMBA ABDI

6
Seorang pelarian Syria mendedahkan telah dipaksa menjadi hamba abdi selama tiga tahun di Libya sebelum berjaya melarikan diri dan memasuki perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.
 
Sami, 30 an, bernasib baik kerana dijumpai terapung dengan bot getah berukuran 3 meter panjang oleh pasukan peronda Pertubuhan Bukan Kerajaan-NGO, Proactiva Open Arms.
 
Menurut cerita yang disampaikan Ketua Misi Proactiva Open Arms, Riccardo Gatti, mangsa memberitahunya, telah bekerja sebagai jururawat di tiga buah hospital di Libya selepas berjaya melarikan diri dari Syria dalam usaha bertemu dengan teman wanitanya yang berketurunan Palestin di Sweden.
 
“Dia jarang meninggalkan hospital. Dia berkata rakyat Syria diburu kerana mereka dipercayai mempunyai wang berbanding pelarian lain atau melakukan kerja dengan pendapatan yang lebih baik”, kata Gatti.
 
Sami juga mendakwa sentiasa berada dalam ketakutan dengan kumpulan bersenjata yang ganas.
 
“Mereka akan bunuh di jalanan jika kamu minta segelas air”, cerita Gatti.
 
Bagaimanapun, lelaki berkenaan nekad untuk melarikan diri dengan membeli bot dari seorang remaja dan menghabiskan masa seminggu bergerak dari setempat ke setempat di pesisir pantai bagi memastikan dirinya tidak bertembung dengan kumpulan bersenjata.
 
 
 

Kongsi Artikel Ini