Tiga buah hospital di Idlib musnah dibom regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia dalam tempoh 24 jam.
Dalam serangan yang dilancarkan, pusat kesihatan di Sarmin, Hospital Sarmin dan Hospital Al Nour di Taftanaz telah menjadi sasaran.
The Syria Campaign dalam status di Facebooknya mendakwa 53 buah pusat kesihatan telah terpaksa ditutup dalam tempoh sebulan.
Katanya, sasaran ke atas premis kesihatan memburukkan lagi keadaan sedia ada di Idlib, di mana lebih 500,000 pelarian baru dari selatan kawasan itu berlindung.
Selain terperangkap dengan serangan di kawasan yang bersempadan dengan Turki, mereka juga berdepan dengan ancaman cuaca sejuk, ketiadaan tempat berlindung, bekalan makanan yang terhad dan kekurangan keperluan asas lain.
Meskipun hospital dan pusat kesihatan berterusan menjadi sasaran, Pasukan Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih belum menerbitkan laporan terhadap perkembangan terkini di situ.
“Hanya minggu lalu, para penyiasat PBB meneliti serangan yang dilakukan ke atas hospital-hospital di utara Syria menangguhkan penerbitan laporan, menafikan keadilan ke atas org awam dan ia menunjukkan mesej betapa kebalnya regim dan Syria yang sengaja menjadikan hospital sebagai sasaran,” kata The Syria Campaign.
Berikutan keadaan yang tidak menampakkan sebarang petanda akan reda bekas Presiden Syrian American Medical Society, SAMS, Dr Zaher Sahloul meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk turun padang dan lihat sendiri nasib lebih setengah juta pelarian baru dan bukannya setakat mengeluarkan kenyataan “menyuarakan kebimbangan mendalam”dari ibu pejabat badan dunia itu di New York.
Katanya, sehingga kini kenyataan yang dibuatnya tidak mendapat sebarang reaksi.
Bagi mendesak Guterres lebih peduli nasib pelarian Syria, Sahloul meminta mesej itu disampaikan melalui laman media sosial dengan cara berikut:
.@antonioguterres 3 health facilities attacked in 24 hours. The doctors and humanitarians of Idlib are inviting you to witness the evidence for yourself. Go to Idlib and stand with them #SaveIdlib #GuterresVisitIdlib
.@antonioguterres At least 500,000 people displaced in two months. The doctors and humanitarians of Idlib are inviting you to witness the evidence for yourself. Go to Idlib and stand with them #SaveIdlib #GuterresVisitIdlib.
Razali Awang
Media Syria Care