REYHANLY, TURKIYE – Wartawan Sinar Harian dan krew pertubuhan bukan kerajaan, Syria Care berdepan detik cemas apabila Turkiye sekali lagi digegarkan dengan gempa susulan, kira-kira jam 11 malam waktu tempatan pada Khamis.
Berdasarkan informasi dari Earthquake Safety, gegaran yang direkodkan berukuran 4.7 skala Richter.
Ketua Unit Premium, Nurul Riduan Nor Ashaha berkata, ketika kejadian dia sedang menyiapkan satu laporan berita berkaitan kejadian gempa bumi di negara berkenaan.
Nurul Riduan (kiri) bersama petugas Syria Care berada di dalam van berhampiran kawasan lapang susulan gegaran susulan di Reyhanly.
“Ketika sedang membuat laporan berita, saya terkejut apabila bangunan rumah kami di Reyhanly bergoyang dalam tempoh lima ke 10 saat.
“Pemandu van kami warga Turkiye mengarahkan untuk keluar dari bangunan segera,” ujarnya.
Nurul Riduan memberitahu, sebaik keluar, dia melihat penduduk di kawasan itu turut melakukan tindakan sama.
Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, gempa bumi susulan itu antara paling kuat dirasai.
Penduduk tempatan memaklumkan, gempa bumi susulan itu antara paling kuat dirasai.
“Kalau sebelum ini hanya gegaran yang kecil tetapi kali ini amat dirasai sehinggakan saya terus mengarahkan semua ahli keluarga keluar dari rumah.
“Kejadian gempa bumi ini amat memberi kesan trauma kepada kami di sini,” tambahnya.
Sementara itu, wakil Syria Care di Syria memaklumkan dua buah rumah runtuh di lokasi bersempadan dengan Turkiye.