SYRIA: TIADA ISTILAH GENCATAN SENJATA

28children-superJumbo
Cadangan gencatan senjata selama dua hari bermula Isnin oleh sekutu kuat Presiden Bashar al Assad, Rusia di Timur Ghoutah tidak membawa sebarang makna.
 
Di hari yang sama syor berkenaan dibuat, tentera regim bersama tali barutnya melancarkan serangan di kawasan berkenaan yang membunuh 18 nyawa, dua daripada mangsa adalah kanak-kanak.
 
Menurut Syrian Observatory for Human Rights, serangan tanpa henti sejak dua minggu lalu telah meragut sekurang-kurangnya 100 jiwa dan jumlah korban dijangka akan terus meningkat ekoran kecederaan parah yang dialami mangsa.
 
Usaha merawat mereka yang tercedera sukar dilakukan ekoran kekurangan kemudahan dan bekalan ubat-ubatan.
 
Pertubuhan sukarelawan perubatan Perancis, Doctors Without Borders (MSF) dalam kenyataannya pada Isnin mendesak supaya serangan dan kepungan di Timur Ghoutah dihentikan segera.
 
Katanya, pengeboman berterusan menyebabkan jumlah kecederaan yang ramai manakala keupayaan perubatan yang kurang telah menyebabkan malapetaka kepada pesakit yang memerlukan rawatan.
 
Di kawasan Timur Ghoutah, mana-mana hospital dan pusat rawatan yang masih berfungsi menjadi amat berisiko kerana berterusan menjadi sasaran serangan udara tentera regim.
 
Rusia dilihat bersandiwara dengan mengesyorkan cadangan pada Isnin lalu untuk melaksanakan gencatan senjata di kawasan pinggir Damsyik selepas dua hari pesawat perangnya membunuh puluhan nyawa di kawasan berkenaan.
 
 
 

Kongsi Artikel Ini