STRATEGI KEPUNG, BUNUH DAN USIR

Whatsapp Image 2018 03 23 At 09.17.44

Tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya mempertingkat serangan ke atas kawasan lain di Timur Ghoutah dalam usaha memberi lebih tekanan kepada kumpulan anti kerajaan yang lain mengikut jejak Ahrar al Sham yang bersetuju meletak senjata dan berundur keluar dari Harasta.

Dalam operasi besar-besaran ke atas Arbin dan Zamalka, sekurang-kurangnya 19 orang awam lagi menjadi korban.

Middle East Eye melalui sumber yang dipetik dari stesyen televisyen pro kerajaan melaporkan salah seorang pegawai kanan regim Bashar al Assad mengeluarkan kenyataan ugutan terhadap mereka yang masih berdegil bagi berbincang berhubung pengunduran dari Timur Ghoutah.

“Maut akan datang jika kamu tidak menyerah”, katanya.

Menurut laporan portal berkenaan, rundingan untuk membawa keluar dibuat dengan Ahrar al Sham selepas kumpulan itu bersetuju untuk menukarnya dengan askar kerajaan dan konco-konco Bashar yang ditawan sebelum ini.

Proses perpindahan yang bermula pada Khamis setakat ini dilapor berjalan lancar.

Mengikut persetujuan yang disepakati, ia akan dilakukan secara dua peringkat.

Wartawan Reuters yang menyaksikan proses keluar penduduk Harasta berkata, tentera regim telah mengalih penghalang yang diletakkan di tengah jalan bagi membolehkkan bas melepasinya.

Sementara itu TRT World melaporkan, berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam rundingan yang dikendali Rusia itu, semua penentang dan orang awam yang bersetuju untuk keluar akan menuju ke barat laut Idlib.
Ia akan dibuat dalam tempoh beberapa hari.

Dalam perkembangan yang sama, kumpulan Jaish al Islam yang menguasai sebahagian besar Douma bertekad sama sekali tidak akan menyerah walaupun telah dikepung sejak lebih seminggu lalu.

Bagaimanapun di bawah persetujuan yang dicapai, orang awam dibenarkan meninggalkan bandar yang dihuni lebih 120,000 penduduk itu.

Pada masa sama, tentera regim melancarkan serangan ke kawasan berkenaan.

Terbaru, sekurang-kurangnya lapan serangan udara dilancarkan, empat daripadanya menggunakan bom fosforus.

Kongsi Artikel Ini