SOHR DEDAH ISI PERJANJIAN DOUMA

1048749188

Konvoi keempat yang membawa Douma yang menuju ke pinggir Aleppo telah ditangguh berkuatkuasa 5 April 2018.

Ia berlaku susulan konflik tiga segi membabitkan Rusia, regim Bashar al Assad dan kumpulan Jaish al Islam.

Perkembangan terbaru itu disahkan Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) di laman sesawangnya.

Ia dikatakan berkaitan dengan penempatan baru bagi mereka yang berasal dari Douma, Timur Qalamoun, selatan Rifq Dimasq dan juga selatan Damsyik.

“Sumber mengesahkkan kepada SOHR bahawa pemindahan yang sedang berjalan mereka dari Douma, telah terbantut dan ditangguh hari ini, Khamis, 5 April 2018, kerana kehadiran tentera Turki di kawasan bertindih membabitkan kawalan tentera regim dan Turki di bahagian barat laut pinggir Aleppo, sebagai tambahan kepada alasan di atas, bilangan Jaish al Islam di kawasan ini iaitu Douma, Timur Qalamoun, selatan Rifq Dimasq dan juga selatan Damsyik mencecah 14,000 orang,”lapor SOHR di laman rasminya.

Katanya lagi, Jaish al Islam telah menghalang orang awam untuk pergi ke deretan bas yang diletakkan di pinggir Douma.

Terdapat juga laporan bahawa mereka telah dipaksa turun oleh tentera regim selepas menaikinya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, SOHR mendakwa berlaku percanggahan terhadap perjanjian yang tidak diumumkan sebelum ini berhubung kedudukan penduduk yang enggan ke Al Bab dan Jarablus di pinggir Aleppo.

Mereka yang menolak tawaran itu dikatakan meminta regim memberi jaminan akan membina semula infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan di Douma selain mengeluarkan semula dokumen kepada mereka yang kehilangan melalui agensi kerajaaan serta mengembalikan pelajar ke sekolah.

Di bawah terma itu juga regim menyelesaikan urusan dengan penentang dan orang awam termasuk penyerahan senjata yang dibuat di bawah jaminan Rusia.

Begitu juga dengan syarat wajib pengambilan kerahan tentera kepada golongan muda akan ditangguhkan daripada enam ke 10 bulan.

Manakala polis regim akan memasuki Douma ketika proses pembinaan semula dengan jaminan askar tentera Rusia.

Kongsi Artikel Ini