Sidang Media Gabungan Selamatkan Syria (GSS)

10482063_782594605160713_7832212394323969838_o

24 Mac 2015. Siang tadi pihak Syria Care bersama barisan NGO-NGO yang membantu rakyat Syria telah mengadakan satu sidang media untuk menyatakan pendirian kami berkenaan isu Syria. Pihak Syria Care telah diwakili oleh Ustaz Rizal Ali.

GABUNGAN SELAMATKAN SYRIA

4 TAHUN TRAGEDI KEMANUSIAAN SYRIA

18 Mac 2015 yang lepas menandakan genapnya 4 tahun tragedi kemanusiaan yang berlaku di Syria. Namun sehingga kini, kuasa-kuasa besar dunia seakan terus memberikan lampu hijau kepada pembantaian rakyat Syria saban hari malah masyarakat dunia pula seakan-akan tidak mampu bersuara lantang mempertahankan nasib saudara-saudara kita di sana.

Gabungan Selamatkan Syria (GSS) berpendapat bahawa krisis yang berlanjutan semenjak 2011 ini merupakan satu kegagalan dunia kemanusiaan dalam menghadapi krisis yang kedua terburuk selepas tragedi Rwanda. Angka kematian yang mencecah 210,000 seperti yang dilaporkan oleh PBB jelas bukan satu angka yang wajar dibiarkan tanpa sebarang tindakan proaktif. PBB juga turut menganggarkan jumlah bantuan yang diperlukan oleh rakyat Syria adalah sebanyak USD8.4 billion untuk tahun 2015 ini dengan jumlah mereka yang perlu dibantu adalah seramai 10.8 juta orang.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh Syrian Centre for Policy Research (SCPR) menyatakan populasi Syria kini berkurang daripada 20.87 juta orang pada 2010 kepada 17.65 juta pada akhir tahun 2014. Hampir separuh daripada populasi tersebut telah meninggalkan rumah mereka dan sejumlah 6.8 juta dan 3.33 juta masing-masing kini menjadi pelarian di dalam Negara (Internally Displaced Person) dan pelarian di Negara berjiran.

Justeru, Gabungan Selamatkan Syria ingin menyatakan bahawa :

1. Pemerintahan Rejim Bashar Assad perlu menghentikan serangan ke atas orang awam yang tidak berdosa dan memberi jaminan keselamatan dan ruang kepada badan kemanusiaan antarabangsa untuk menghantar bantuan ke kawasan-kawasan yang sukar.

2. Kerajaan Malaysia perlu menggunakan posisi Negara di dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengusulkan genjatan senjata di Syria.

3. Kerajaan Malaysia perlu untuk mengangkat satu usul khas 4 tahun tragedi kemanusiaan Syria di dalam parlimen.

4. Masyarakat Malaysia harus terus menyokong usaha-usaha bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh setiap badan NGO yang berada di dalam GSS.

GSS menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar konflik di Syria ini akan segera berakhir dan kami menyatakan komitmen untuk terus membantu rakyat Syria di Syria dan juga mereka yang mendapatkan perlindungan Negara-negara jiran termasuk yang berada di Malaysia melalui sokongan yang diberikan oleh kerajaan dan juga masyarakat Malaysia yang prihatin.

Terima kasih.

Senarai NGO GSS :
1. Malaysia Life Line for Syria (MLLFS)
2. I4Syria (i4S)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
5. Syria Care Malaysia (SC)
6. Green Project
7. Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSA)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
9. Palestine Reconstruction Team (PRT)
10. Munsyid Malaysia.

11026079_782594275160746_7760601450693519112_o     11082418_782594395160734_6436718201801827053_o     10683561_782594195160754_4872476884845395718_o

       11071467_782594241827416_4819422962257552720_n          11081495_782594341827406_4655834395812271243_n

Kongsi Artikel Ini