SELAMAT TINGGAL TIMUR GHOUTA

Whatsapp Image 2018 03 26 At 08.10.16(1)

Lima minggu selepas dibom dan diserang tanpa henti dengan angka korban orang awam melebihi 1,700 nyawa, 90 peratus kawasan Timur Ghoutah kini telah jatuh ke tangan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia.

Bermula dengan rundingan dengan kumpulan anti kerajaan Ahrar al Sham di Harasta dan kemudian disusuli Faylaq al Rahman di Arbin, usaha pemindahan keluar dari situ telah bermula Jumaat lepas.

Di bawah rancangan yang diusahakan Moscow, semua mereka akan dibawa ke satu-satunya kawasan yang masih dikuasai penentang, iaitu Idlib.

Agensi berita Xinhua melaporkan, lebih 7,500 orang telah diangkut keluar dari bandar Harasta dan ia telah dibuat selama dua hari.

Dari jumlah itu, 1,500 daripada mereka terdiri daripada kumpulan penentang, manakala selebihnya orang awam yang diangkut dengan 40 buah bas.

Menurut AFP, bandar berkenaan telah kosong selepas proses pemindahan selesai.

Sementara itu di Arbin dan kawasan sekitarnya, jumlah yang hampir sama juga telah dibawa keluar.

Ia juga dilakukan selama dua hari dan kumpulan terakhir meninggalkan kawasan berkenaan berlepas semalam.

“Penduduk di sini amat sedih meninggalkan kediaman, tanah air, kenangan di zaman kanak-kanak dan tempat di mana mereka lalui saat-saat indah di zaman kanak-kanak,” kata Hamzah Abbas kepada TRT World.

Jelasnya, walaupun di bawah rundingan yang dibuat Faylaq al Rahman dengan Rusia, orang awam ditawarkan untuk terus tinggal di Arbin dan Zamalka, dia sama sekali enggan berbuat demikian.

“Saya membuat keputusan untuk meninggalkan Ghoutah kerana bagaimana boleh hidup dengan seseorang yang membunuh keluarga, adik dan rakan taulan, dengan seseorang yang menghancurkan hidup dan masa depan saya,” luahnya sebelum menaiki bas meninggalkan Arbin.

Selepas Harasta dan Arbin serta kawasan sekitarnya jatuh ke tangan regim, kini Douma menjadi satu-satunya bandar di Timur Ghoutah yang masih bertahan.

Ia juga menunggu masa kerana rundingan yang sama sedang dibuat dengan Jaish al Islam.

Menurut al Jazeera, kumpulan berkenaan pada Sabtu lalu menolak untuk dihantar ke Idlib kerana hubungannya yang kurang baik dengan kumpulan yang menguasai kawasan berkenaan.

“Apa yang kami faham kemungkinan mereka akan dihantar ke bahagian timur hampir dengan Lubnan,” kata wartawannya, Zeina Khodr.

Kongsi Artikel Ini