Regim buru sukarelawan White Helmets

Untitled

 

White Helmets merayu masyarakat antarabangsa supaya membantu membawa keluar sukarelawan dan anggota keluarga mereka yang terperangkap dari Daraa dan kawasan sekitarnya kerana khuatir akan didera dan dibunuh tentera regim Bashar al Assad.

Keadaan semakin kritikal kerana semua mereka yang berada di situ telahpun terkepung dan dikatakan hanya menunggu masa untuk ditangkap selepas ia dikuasai semula tentera kerajaan dan sekutunya.

“Ia satu-satunya alternatif kepada sukarelawan kami yang masih terperangkap. Kalau tidak mereka akan ditahan atau dibunuh tentera regim dan sekutunya, Rusia,” kata White Helmets dalam kenyataan awal minggu ini.

Menurut Ketua White Helmets Raed Saleh, tidak semua sukarelawannya dipindahkan kerana sesetengah daripada mereka gagal sampai ke pusat pemindahan yang ditetapkan.

Katanya, dalam operasi sebelum ini, 98 petugas lelaki dan wanitanya bersama 324 anggota keluarga mereka berjaya dibawa keluar dari selatan Syria melalui Israel ke Jordan.

“Mereka membawa keluar sebahagian tetapi tidak boleh uruskan kami keluar.

“Kami membakar kad apabila tentera Syria datang. Mereka tiada perasaan kasihan. Sesiapa yang ditangkap oleh regim, tiada siapa tahu apa yang berlaku ke atas mereka,” kata salah seorang petugasnya yang dikenali sebagai Imad yang kini terperangkap di Quneitra.

Mengulas mengenai perkembangan itu, dia berkata satu mesyuarat telahpun diadakan di kalangan pegawai White Helmets di Jordan bagi membincangkan nasib saki baki mereka yang terkandas.

Menurut Imad, hasil perbincangan memutuskan mereka yang ada di dalam Syria hanya mempunyai satu pilihan iaitu melalui rundingan serah diri dan kemudian dipindahkan ke kawasan utara Syria.
“Kami meminta pihak yang prihatin membantu kami keluar,” kata petugas White Helmets, Ceasar di selatan Daraa.

Dia menganggarkan masih terdapat 400 sukarelawan di wilayah Daraa yang bersempadan dengan Jordan dan Israel.

Jelasnya lagi, dia mendapat tahu operasi pemindahan minggu lalu dibuat secara kebetulan dan bila dia dihubungi oleh pihak White Helmets, mereka memaklumkan bahawa ia sudah terlambat.

“Pemindahan yang dibuat kelmarin melalui Israel hanya menjadikan keadaan bertambah buruk. Kami takut tindak balas regim dan Rusia,” katanya kepada agensi berita AFP.

Mengulas perkembangan yang berlaku, Kementerian Luar Syria di Damsyik menyelar pemindahan yang dibuat dan menyifatkan ia sebagai operasi jenayah dan mengulangi tuduhan bahawa White Helmets sebagai tali barut “pengganas”.

White Helmets yang ditubuh pada 2013 turut dikenali sebagai Syria Civil Defence terbabit dengan operasi menyelamat mangsa yang cedera di kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan anti kerajaan.

Sebahagian sukarelawannya menerima latihan di luar negara termasuk Turki dan kemudian pulang ke lapangan bagi mengajar rakan sepasukan mengenai teknik mencari dan menyelamat.

Tanpa mengira latar belakang agama, sejak diasaskan, ribuan orang awam yang tercedera dan terperangkap di bawah runtuhan telah berjaya diselamatkan.

Kewujudan dan peranan yang digalasnya bagaimanapun tidak disenangi pentadbiran Bashar al Assad kerana ia menerima sejumlah dana dari negara luar termasuk Britain, Jerman serta Amerika Syarikat dan berkali-kali menuduh White Helmets sebagai agen Barat.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini