Sekurang-kurangnya 20 pelarian di kem Rukban disahkan maut bulan lalu kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan selepas hampir dua minggu bantuan disekat sepenuhnya oleh tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya.
Keadaan itu dijangka bertambah kritikal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ancaman ribut pasir dan ketibaan musim sejuk.
Dalam rakaman yang dimuat naik di laman sosial dan kemudian dipetik portal www.orient-news.net, ia memaparkan klip video kanak-kanak yang merayu supaya sekatan ke atas kem berkenaan dihentikan.
Ketika itu dia berdiri di tengah ribut.
“Kami tidak lagi memerlukan bantuan anda kerana kami sedang mati di sini. Biarkan kami keluar dari kem ini. Kami merayu supaya dibuka laluan supaya kami boleh keluar dari sini.
“Apalah sengsaranya hidup! Di mana hak manusia dan hak kanak-kanak. Kanak-kanak telah mati di sini. Tiada apa yang kami temui untuk makan di tengah ribut pasir. Atas nama Allah, berikan jalan untuk akhiri derita kami” luahnya.
Ribut kuat pada Rabu lepas menyebabkan sebahagian besar khemah dan tempat mereka berlindung musnah.
Ia memburukkan lagi situasi lebih 60,000 pelarian yang kini berdepan dengan 1001 kesengsaraan.
Sekiranya berjalan seperti dijadual, paling awal bantuan akan sampai ke sana pada minggu depan.
Ia akan digerakkan bersama antara agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan Syrian Arab Red Cresent (SARC).
Kali terakhir bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke kem yang berada di kawasan sempadan yang turut bersempadan dengan Jordan dan Iraq itu, pada Januari lepas.
Razali Awang
Media Syria Care