Raqqa: Amnesty tempelak AS

Untitled
Amnesty International mendesak Amerika Syarikat yang memimpin Tentera Bersekutu melancarkan operasi ketenteraan ke atas Raqqa tahun lalu, melakukan siasatan ke atas kematian orang awam di situ.
 
Katanya, jumlah korban dalam serangan yang dilancarkan sebenarnya jauh lebih besar dan bukannya 77 orang sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.
Dakwaan itu berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya ketika berada di lapangan.
 
Penasihat Amnesty, Donatella Rovera berkata, setiap keluarga yang ditemui membangkitkan persoalan berhubung pengeboman yang dibuat ke atas mereka.
“Inilah masanya Tentera Bersekutu berhenti daripada menafikan dan melakukan perkara yang betul, siasatan bebas yang terperinci,” kata Rovera.
 
Jelasnya lagi, mereka perlu memberikan maklumat yang sahih dan berguna mengenai sasaran dan cara serangan dilancarkan di Raqqa.
 
“Tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghidupkan orang yang telah mati atau menghilangkan trauma yang dialami. Sekurang-kurangnya Tentera Bersekutu boleh melakukan usaha-usaha pemulihan termasuk bayaran pampasan dan pemulihan kepada keluarga mangsa dan mereka yang terselamat,”ujar Rovera.
 
Sebelum ini ia mengaku hanya 32 orang awam yang terkorban dalam kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas Raqqa yang pernah menjadi ibu negara IS.
Bagaimanapun hasil siasatan yang diterbitkan Amnesty pada Jun lepas mendapati ia jauh lebih besar.
 
Berdasarkan maklumat yang dikumpul, pertubuhan hak asasi manusia itu mendapati 77 orang awam telah menjadi mangsa serangan di mana 49 daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Selepas ditempelak, pentadbiran Tentera Bersekuta menerima angka mutakhir yang dikeluarkan Amnesty sebagai jumlah korban.
 
Hakikatnya, angka sebenar lebih ramai memandangkan masih terdapat mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.
 
Dalam operasi empat bulan yang berakhir pada Oktober 2017, Tentera Bersekutu telah melancarkan pelbagai bentuk serangan udara bagi menyokong pertempuran darat sekutunya, Syrian Democratic Forces (SDF) berdepan dengan IS di bandar yang dihuni lebih 200,000 penduduk.
 
Selepas dibebaskan, pasukan sukarelawan menemui lebih 500 mayat di bawah runtuhan dan kini selepas berbulan-bulan, masih ada yang dijumpai tertimbus.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini