PESAWAT RUSIA BUNUH 16 KANAK-KANAK

Whatsapp Image 2018 03 22 At 09.08.27

Sekurang-kurangnya 20 maut selepas menjadi mangsa serangan udara pesawat Rusia di Saraqib, Idlib.

Menurut Pengarah White Helmets, Mustafa Haj Yusuf, 16 daripada yang terkorban adalah kanak-kanak yang berlindung menyelamatkan diri selepas sekolah mereka diserang.

Dalam kejadian dekat kampung Kafr Batikh itu, mangsa meninggal dunia selepas tempat persembunyian bawah tanah mereka menjadi sasaran bom.

Sementara itu, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), berkata 15 yang terkorban terdiri daripada satu keluarga.

Menurutnya lagi, serangan itu dibuat berhampiran pusat pemeriksaan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) kumpulan yang bersekutu dengan Al Qaeda.

Idlib yang bersempadan dengan Turki menjadi sasaran serangan udara tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya selepas penguasaan kumpulan penentang di Timur Ghoutah berjaya dilemahkan.

Dalam tempoh 11 hari sekurang-kurangnya 56 maut di kawasan itu dan Hama, apabila ia menjadi sasaran serangan udara.

Dalam perkembangan berasingan, TRT World melaporkan Ahrar al-Sham yang menguasai Harasta di Timur Ghoutah telah bersetuju untuk keluar dari bandar yang dikuasainya bagi menjadikan ia laluan selamat.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai, 1,600 anggota kumpulan penentang bersama 6,000 ahli keluarga mereka akan menggunakan laluan selamat untuk dibawa keluar ke Idlib.

Operasi itu dijangka bermula pada Khamis.

Katanya lagi, regim Bashar juga memaafkan penduduknya yang ingin terus tinggal di situ.

 

Kongsi Artikel Ini