Pembunuhan besar-besaran ke atas orang awam di utara Syria, khususnya Idlib, hakikatnya tidak diambil peduli pemimpin dunia.
Ia diakui sendiri dibuat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa (HCHR), Michelle Bachelet.
Lebih lantang, bekas Presiden Chile itu mengkritik peranan negara paling berkuasa kerana gagal menghentikan apa yang sedang berlaku.
“Ketika ini serangan udara beberapa kali dalam seminggu membunuh dan mencederakan orang awam dan tidak nampak sebarang tindak balas di mana Majlis Keselamatan telah lumpuh, Negara Anggota Tetap berterusan gagal untuk bersetuju menggunakan kuasa dan pengaruh bagi menghentikan pertempuran dan pembunuhan.
“ Ini adalah kegagalan kepimpinan negara-negara paling berkuasa di dunia, mengakibatkan tragedi pada skala yang begitu besar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sejak kempen besar-besaran bermula pada 26 April lalu, tiada satupun usaha bersungguh-sungguh mana-mana pihak untuk menghentikan pembunuhan yang sedang berlaku.
The Syrian Observatory for Human Rights, (SOHR) melaporkan sehingga minggu lalu, lebih 730 nyawa telah menjadi korban termasuk 157 kanak-kanak dan 111 wanita.
Angka itu termasuk serangan sepanjang 10 hari pada minggu kedua dan ketiga Julai 2019, di mana lebih 100 maut termasuk 10 kanak-kanak.
Paling tragis pengeboman ke atas pasar di Maaratul Nu’man pada 12 Julai lepas yang meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa. Foto Syria Care.
Razali Awang
Media Syria Care