Pelarian Syria menang Anugerah Filem Cannes

ghj

Zain al Rafeaa tidak menyangka lakonan dalam filem “Capharnaum” mengubah nasib diri dan keluarganya.

Dia yang berusia 13 tahun, membawa watak sendiri, iaitu sebagai pelarian di Beirut, Lubnan telah dipilih untuk menerima Anugerah Juri di Festival Filem Cannes, Perancis.

Pengiktirafan terhadap watak utamanya yang terperangkap dengan kemiskinan dan menjadi buruh kanak-kanak untuk membantu menyara keluarga, telah menjadi tiket kepada keluarganya bagi memulakan hidup baru di negara ketiga, Norway.

Hasil usaha Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dia sekeluaarga akan dibawa ke negara berkenaan pada masa terdekat, di mana mereka akan menikmati keadaan hidup lebih baik berbanding di Beirut, kawasan yang dihuninya sejak enam tahun lalu.

“Saya berasa gembira berbaur sedih. Saya akan merindui sepupu-sepupu di sini, tetapi di sana saya boleh ke sekolah dan belajar membaca dan menulis,” katanya seperti yang disiar portal UNHCR.

Sebelum menjadi pelarian, dia hanya sempat bersekolah pada gred satu di Daraa.

Pengalaman menyelamatkan diri ke Lubnan turut dikongsi bapanya, Ali Mohammed Al Rafeaa.

“ Nyawa kami berada dalam keadaan berbahaya. Ibunya dan saya terpaksa korbankan persekolahan Zain demi keselamatan dengan menjangkakan hanya setahun,” katanya.

Selepas menerima anugerah berkenaan, ia telah membuka lembaran baru keluarga Ali.

Kini mereka menjalani proses suaikenal untuk mengelak sebarang kejutan selepas tiba di Norway nanti.

Sebelum ini, bakat Zain berjaya dikesan pengarah filem warga Lubnan, Nadine Labaki, ketika kanak-kanak itu berada di jalanan, yang kemudian mengambilnya untuk menjalani uji bakat.

Selepas melepasi proses itu, dia diberi tanggungjawab untuk memikul watak utama.

Menurut Nadine, meskipun tanpa latihan asas, Zain menggunakan pengalamannya sebagai pelarian untuk melakonkan watak yang diberi dengan penuh berkesan.

“Bila saya nampak Zain, ia ketara pada pandangan saya bahawa dia akan menjadi hero kami.

Terdapat sesuatu pada matanya yang menunjukkan kesedihan mendalam.
Dia juga tahu apa yang kami inginkan dalam filem dan dia tunjukkan dengan matanya,” jelas Nadine.

Bagi penerbit Capharnaum ini, kekuatan lakonan yang ditunjukkan Zain telah mengangkat martabat filem Lubnan di mana ia telah dicalonkan untuk bertanding pada Anugerah Academy Awards 2019 di bawah kategori “Best Foreign Language Film”.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini