PELARIAN PALESTIN SEDANG DIHAPUS-AKTIVIS

WhatsApp Image 2018-04-25 at 08.53.34

Aktivis kemanusiaan menyifatkan operasi pengeboman udara dan darat yang dilakukan ke atas Kem Yarmouk yang menempatkan pelarian Palestin bukan “perang”.

Sebaliknya ia satu bentuk penghapusan ke atas mereka yang masih berada di situ.

“Kita tidak boleh katakan ia perang. Dalam perang, terdapat pasukan kecemasan perubatan, hospital, tempat berlindung, peluang untuk gencatan senjata dan laluan selamat,” kata aktivis kemanusiaan yang dikenali Al Sayyed kepada Al Jazeera.

Reaksi itu diberikan berikutan serangan peluru berpandu darat ke darat, bom barel dan tembakan mortar bertubi-tubi dari regim Bashar al Assad serta sekutunya ke atas kem pelarian berkenaan.

Ia memburukkan keadaan sedia ada di mana selama ini mereka diancam kumpulan IS yang menguasai sebahagian besar kawasan di situ.

Faktor berkenaan menyebabkan sebarang usaha membantu pelarian Palestin di Kem Yarmouk mustahil dilakukan.

Nasib sebenar mereka yang terperangkap berikutan serangan sengit yag dilancarkan juga masih tidak diketahui .

Kebanyakan penduduknya dikatakan berlindung di dalam kubu bawah tanah dan ruang bawah bangunan selepas operasi besar-besaran tentera kerajaan untuk menawan semula kawasan berkenaan dari IS, bermula enam hari lalu.

“Keadaan penduduk amat teruk, kebanyakan mereka berlindung di dalam kubu bawah tanah, tiada siapa boleh masuk ke kawasan tengah kem kerana kawasan itu dikuasai IS, satu bentuk kepungan baru,” kata aktivis kemanusiaan yang dikenali sebagai Al Midani kepada Al Jazeera.

Orang awam yang berjaya keluar menyelamat diri ke Yalda, menggambarkan keadaan sebenar di sana seperti hari kiamat.

“Tiada klinik, tiada doktor, tiada bekalan makanan, ia hampir kosong.

“Penduduk tidak boleh keluar untuk membeli barang yang mereka perlukan. Jika mereka keluar, mereka terpaksa berjalan berbatu-batu sebelum jumpa orang lain di jalan. Amat payah untuk jumpa orang di luar,” lelaki berusia 35 tahun, Al Sayyed.

Seorang pelarian Palestin, Majd al Masry yang dilahirkan di Kem Yarmouk antara saksi terhadap apa yang berlaku di situ sebelum berjaya melarikan diri ke Yalda, dua tahun lalu.

Katanya taktik perang paling jahat telah digunakan ke atas pelarian Palestin di situ.

“Berperang dengan kebuluran, kesihatan dan psikologi.

“Menanggung serangan pelbagai pihak dan penyakit seperti demam tifoid, kegagalan buah pinggang dan banyak lagi, ini yang pernah saya lalui dalam hidup ini” katanya.

Al Jazeera, mengesahkan jumlah korban setakat ini mencecah 15 nyawa.

Namun angka sebenarnya lebih tinggi kerana masih ramai yang tidak dijumpai dan dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

Sehingga kini tiada petanda serangan akan dihentikan.

Pelarian Palestin mendakwa telah meminta Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) melakukan sesuatu untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Namun sehingga kini tiada petanda yang menunjukkan rayuan mereka didengari.

Kongsi Artikel Ini