PELARIAN CEDERA TERSISIH

IMG_6807
REYHANLI, Turki-Mereka yang tercedera dalam konflik berdarah di Syria memerlukan lebih perhatian berbanding pelarian biasa. Selain pelbagai rawatan susulan, kebanyakan mangsa mengalami kecacatan kekal telah menyukarkan lagi keadaaan.
 
Kebanyakan mangsa yang kritikal dibawa menyeberangi sempadan negara jiran termasuk ke Turki. Meskipun mendapat rawatan percuma yang disediakan Ankara, namun ia satu episod yang panjang kepada mereka. Sebahagian besarnya memerlukan pelbagai rawatan susulan termasuk pembedahan lanjut, fisioterapi, anggota badan palsu dan sebagainya.
 
Konflik yang berlaku menyebabkan mereka terkandas dan sering kali terlepas pandang. Namun begitu bagi pelarian Syria yang lain mereka cuba membantu dengan menyediakan pusat penempatan sementara untuk menempatkan mereka yang tercedera supaya tidak terkontang kanting dan bergelandangan di jalanan.
 
Dar Aafi adalah antara premis yang menjadi tempat singgahan mereka sementara menanti rawatan. Bertempat di tengah bandar Reyhanli, tingkat bawah bangunan apartment enam tingkat ini menempatkan lebih 30 mangsa yang menunggu giliran.
 
Berkeluasan sekitar 2000 meter persegi dengan tiga bilik, ia bukan satu keadaan yang selesa kepada penghuninya. Selain berada dalam keadaan serba kekurangan termasuk kakitangan yang berkepakaran, sewa yang tinggi juga menjadi satu lagi cabaran.
 
Ketika menziarahinya, rombongan Syria Care telah disambut Penolong Penyelia Dar Aafi, Ahmad Huzuri yang kelihatan sempurna. Namun selepas bersuai kenal, dia menceritakan kecederaan kekal yang dialaminya di bahagian bahu dan lengan sebelah kiri selepas terkena peluru Regim Presiden Bashar al Assad.
 
“Kami di sini beroperasi secara sendirian atas sumbangan orang ramai. Kos ubat-ubatan dan sewa bangunan antara cabaran utama”, katanya kepada Siti Sakinah Meor Omar Baki yang juga Pengerusi Syria Care.
 
Mengulas mengenai mereka yang ditempatkan di Daar Aafi, Ahmad menjelaskan sesetengah daripada mereka terpaksa menunggu masa yang panjang untuk mendapat rawatan dan keadaan itu menyebabkan ia bertambah sulit kerana meningkatkan kos yang terpaksa ditanggung meskipun mendapat khidmat jururawat yang datang secara percuma..
 
Apa yang dibimbanginya, sewa premis Dar Aafi berjumlah 7,000 Lira yang dibayar secara setahun sekali.
 
“Kami tidak tahu untuk pergi ke mana sekiranya gagal melunas bayaran yang akan berakhir hujung tahun ini”, ceritanya kepada Siti Sakinah.
 
Bertindak atas keperluaan itu, Syria Care bersetuju untuk membayar bagi enam bulan pertama dan baki selebihnya akan dibuat dalam tempoh masa terdekat.
 
“Hati sangat sayu ketika memasuki rumah tiga bilik itu yang dari ruang tamu penuh dengan penghuni. Apabila diberitahu mereka terpaksa keluar andai sewa rumah tidak dibayar tanpa teragak-agak terus buat keputusan untuk pembayaran sewa rumah. Mereka ini mangsa peperangan. Tercedera dan perlukan sokongan kita”, kata Siti Sakinah dalam keadaan sebak sebelum beredar meninggalkan premis.
 
Kisah di Dar Aafi adalah sebahagian daripada derita yang ditanggung pelarian Syria di negara jiran. Kecederaan yang dialami menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia.
 
Kepada mereka yang ingin menyalurkan derma boleh berbuat demikian melalui:
Akaun bank Syria Care:
1. CIMB Islamic : 8601 89 4560
2. Maybank Islamic : 5621 0665 3575
3. RHB Islamic : 2622 5000 021775
4. Affin Islamic : 1059 9004 0004

Kongsi Artikel Ini