PBB BERI AMARAN SITUASI DI IDLIB

WhatsApp Image 2018-05-14 at 10.54.39

Selepas hampir kesemua kubu kuat kumpulan penentang anti kerajaan jatuh ke tangan tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya.

Idlib yang menjadi kawasan terbesar menempatkan pelarian dalam negara Syria diramal bakal menerima nasib yang sama.

Pada mesyuaratnya minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran perkembangan itu akan menjadi satu lagi malapetaka kemanusiaan di Syria.

“Kekhuatiran kami adalah mengenai aspek kemanusiaan kerana Idlib menjadi satu lagi cabaran besar yang baru.

“2.5 juta orang dan kamu tidak akan percaya semua dari mereka adalah pengganas,”kata utusan khas badan dunia berkenaan ke Syria, Staffan de Mistura.

Regim Bashar dan konco-konconya mengguna istilah “pengganas” kepada semua rakyat Syria yang menentangnya.

Jika serangan dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan kebanjiran pelarian sehingga melepasi sempadan Turki dan merebak ke negara lain.

Menurut TRT World, Ankara telahpun mengambil langkah bagi mengelak krisis ke dalam negaranya dengan meningkatkan jumlah tentera di pos kawalan, memperkukuh majlis tempatan selain melakukan usaha penyatuan antara kumpulan bertelagah.

Berbanding dengan kawasan lain seperti Timur Ghoutah, Hama dan Yarmouk, situasi di Idlib berbeza.

Kehadiran tentera Turki di sebahagian besar kawasan berkenaan menjadi satu cabaran besar kepada Damsyik untuk melancarkan serangan sengit dan besar-besaran.

Di bawah perjanjian kewujudan kawasan bebas perang pada 2017, negara NATO itu telah menubuhkan 10 pusat pemerhatian bagi menggendur keganasan di situ.

Bagaimanapun, kehadirannya tidak diendah kerana ia terus diserang melalui udara oleh regim dan sekutunya Rusia, yang kononnya mensasarkan Hayat Tahrir al Sham, kumpulan yang dikaitkan dengan Al Qaeda dengan menjadikan kawasan orang awam sebagai sasaran.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada diplomatik kanan Turki, TRT World melaporkan ada kalanya panglima perang regim bertindak sesuka hati dan melancarkan operasi tanpa arahan dari Damsyik.

Situasi di Idlib juga ibarat bom jangka kerana ia menjadi kubu kuat bagi kumpulan penentang Free Syrian Army (FSA) yang bermusuhan dengan THS.

Sengketa sesama sendiri menyebabkan kerap kali berlaku pertempuran dan pengeboman. Sabtu lalu, berbelas maut dan berpuluh lagi cedera di pusat bandar di wilayah itu selepas menjadi mangsa bom kereta.

 

Kongsi Artikel Ini