NENEK KETUAI MISI KEMANUSIAAN PELARIAN SYRIA

22553079_10214049991186884_7250901878585849627_o
SHAH ALAM-Status nenek tidak menghadkan pergerakan Ketua Pegawai Eksekutif, CEO Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki untuk turun padang bagi memastikan kelancaran Bantuan Musim Sejuk 5.0 yang telah dilancarkan sejak sebulan lalu.
 
Bagi tujuan itu dia sendiri akan menziarahi keluarga-keluarga susah dan institusi pendidikan dan perubatan di sempadan Turki Syria juga mengadakan perbincangan langsung bersama sahabat-sahabat NGO bagi meninjau dan membuat penilaian terhadap keperluan mereka
 
“Pada masa sekarang, ia agak payah untuk kami termasuk saya memasuki Syria, tetapi ia bukan penghalang. Kami sentiasa berhubung termasuk mengadakan sidang video dengan rakan NGO. Tugasan yang saya lakukan ini adalah amanah besar para penyumbang. Saya perlu pastikan ia berjalan lancar”, katanya yang baru mendapat cucu kedua, dua minggu lalu.
 
Berceloteh lanjut, ibu kepada lima orang anak ini berkata, dorongan kuat serta sokongan tidak berbelah daripada suami, Abd. Muein Abd Rahman yang menjadi pasangan hidupnya sejak 31 Ogos 1989 serta anak-anak yang berusia antara 26 hingga 13 tahun menjadi pembakar semangat dalam kerja-kerja amal dan kemanusiaan.
 
“Ustaz Abdul Muein bergerak sebagai pendakwah manakala saya dalam kerja-kerja kemanusiaan. Adakalanya berjauhan dalam tempoh yang panjang. Namun kami merasa amat dekat kerana apa yang dilakukan atas perjuangan kerana Allah. Ia satu jihad,” ulas nenek dua cucu ini.
 
“Seminggu lalu suami saya mengadakan kerja-kerja dakwahnya di Semporna Sabah bersama penduduk Kg. Bangau-bangau. Minggu ini saya pula akan berada di Turki” katanya.
 
Menyentuh misi yang dikendalikannya, Siti Sakinah menjelaskan anak-anaknya sama ada yang berada di universiti dan sekolah sanggup berpisah dengan ibu sendiri walaupun peperiksaan semakin hampir kerana faham apa yang dilakukan adalah bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik di Syria dan mereka sanggup berkorban.
 
Jelasnya cabaran yang paling besar bukan berjauhan dengan keluarga sebaliknya tanggungjawab yang digalas kerana ia melibatkan banyak pihak dan aspek. Tugasannya dilakukan dengan penuh teliti kerana ia amanah orang ramai.
 
“Saya tidak pernah putus berusaha, berdoa, bertawakal serta bermunajat”, katanya ketika ditanya mengenai kalancaran misi Syria Care, termasuk usaha untuk mengumpul dan mengagih sumbangan.
 
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia amat bermurah hati dan prihatin dengan penderitaan yang ditanggung pelarian Syria. Namun begitu kami perlu melipat gandakan lagi usaha kerana keadaan yang berlaku di Syria menyebabkan pertambahan mendadak jumlah mangsa. Oleh itu saya berharap lebih banyak sumbangan dari penderma”, rayu graduan dalam bidang Al Quran dan Hadis, Universiti Ummu Qurra, Mekah ini.
 
Bagi misi yang bermula 23 Oktober,dia yang ditemani 4 orang warga kerja Syria Care, akan berada di kawasan sempadan hampir lima hari sebelum kembali ke Istanbul untuk beberapa program termasuk melawat sekolah tajaan Syria Care dan beramah mesra dengan anak yatim dalam Kembara Kemanusiaan Syria Care yang disertai juga oleh Khai Bahar,Azadan Rabbani dan Pyan Saujana.
 
“Untuk bantuan awal Bantuan Musim Sejuk, BMS 5.0 kami memerlukan RM500,000. Ia sebahagian sasaran kami iaitu RM4 juta. Kami amat mengharapkan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia kerana musim sejuk di Syria antara penyumbang kematian pelarian. Tahun lepas sahaja lebih 120 kanak-kanak meninggal kerana kesejukan”, katanya dalam nada perlahan.
 
Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Syria Care.
🏧 Maybank: 562106653575
🏧 CIMB Islamic: 8601894560
🏧 RHB Bank: 26225000021776
🏧 Affin Islamic Bank: 105990040004
 
Juga, sila sertakan salinan transaksi kepada Pegawai Kewangan kami di talian 011 28809820 (Pn Farah).
 
Oleh Razali Awang, Sukarelawan Syria Care

Kongsi Artikel Ini