Musibah datang bertimpa

WhatsApp Image 2019-01-09 at 11.05.39 AM

Pelarian Syria yang berlindung di Lubnan berdepan dengan dua bencana alam serentak.

Selain ribut salji, mereka juga diancam banjir.

Di kem Arsal di Baalbek, yang menempatkan lebih 50,000 penghuni, ribut serta salji tebal menyebabkan bekalan gasolin yang diguna untuk memanaskan badan dan bekalan makanan dilaporkan hampir terputus.

Sementara di Akkar, banjir menyebabkan pelarian di situ berdepan dengan kebuluran dan kesejukan selepas makanan dan tempat mereka berlindung ditenggelami dan dihanyut air.

“Air membanjiri kami di kem ini. Saya dan anak-anak. Keadaan kami teruk,” kata Ghazwan Zeidan kepada Reuters.

“Air naik sehingga setengah meter di dalam khemah…perang di Syria menyebabkan kami terpaksa tempuh keadaan ini,” kata seorang lagi mangsa yang berasal dari Homs, Hussein Zeidan.

Dalam kenyatan yang dikeluarkan pada Selasa, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ribut dan hujan menyebabkan 15 penempatan pelarian ditenggelami air atau musnah.

Menurut Al Jazeera, lebih 170,000 orang terjejas dengan musibah yang berlaku di Lubnan.

Lapornya, kebanyakan khemah pelarian yang dibina tidak mampu menahan hujan, banjir dan cuaca sejuk.

Keadaan itu menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai risiko di musim sejuk.

 

Razali Awang

Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini