Kerajaan iktiraf usaha Syria Care bantu pelarian Syria

123404659_1310303892641860_8331099252918846035_n

Kerajaan iktiraf usaha Syria Care bantu pelarian Syria

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, antara tiga tokoh wanita yang dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

Dua lagi wanita yang menerima anugerah yang sama ialah Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli dan pendakwah bebas, Zawiyah Hassan.

Majlis penyerahannya telah berlangsung pada pagi Jumaat (6 November 2020 di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

28 Oktober lalu semua nama penerima anugerah dibuat secara maya dan disiarkan di TV1 dalam program Semarak Cinta Rasul melalui inisiatif norma baharu susulan pembatalan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

Pada pengumuman berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican dipilih sebagai penerima anugerah utama.

Selain daripada tiga wanita berkenaan, penerima anugerah khas lain turut sama diberikan kepada guru cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur, Zakaria Yahya, Presiden Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), Prof. Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, dan Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester.

Siti Sakinah atau lebih dikenali dengan panggilan Ustazah Siti Sakinah, 52 tahun, menyertai Syria Care pada 2014 selepas dua tahun menggunakan platform media sosial, seperti Facebook dan bergerak secara sukarela serta turun padang bagi mengumpul bantuan dan kemudian dihantar kepada mangsa konflik Syria.

Beliau berkelulusan dari Universiti Ummul Qura, Makkah al Mukarrammah dalam bidang Usuluddin pengkhususan Hadith dan Ulum Hadith.

Kebolehannya berbahasa Arab dan Inggeris dengan fasih serta lancar menjadi satu aset bagi ibu lima anak ini dalam melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan di Turki, Syria dan Lubnan.

Kongsi Artikel Ini