Tiada apa yang istimewa bagi Khan Sheikhoun sebuah bandar kecil di selatan Idlib, Syria sehinggakan tragedi yang pernah berlaku di situ semakin dilupai masyarakat antarabangsa.
4 April 2020, genap tiga tahun pembunuhan beramai-ramai yang menyaksikan lebih 90 nyawa orang awam mati dan mencedera lebih 500 yang lain apabila mereka menjadi mangsa serangan senjata kimia yang dilancarkan regim Bashar al Assad.
Tahun berganti tahun, nasib mereka yang menjadi mangsa tidak pernah terbela bahkan semakin ramai yang terpaksa menjadi pelarian dalam negara (IDP) selepas lebih banyak kawasan yang selama ini berada di bawah kumpulan penentang jatuh ke tangan tentera kerajaan.
Tindakan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kezaliman ke atas penduduk yang tidak berdosa sekadar hangat-hangat tahi ayam yang penuh drama dan sandiwara.
Sehari selepas serangan iaitu pada 5 April 2017, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengadakan sidang kecemasan untuk membincangkan serangan.
Isunya menjadi hangat dan menjadi tumpuan antarabangsa selepas Amerika Syarikat melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk dari kapal perangnya di Laut Mediterranean ke Pengkalan Udara Shayrat di Homs, yang dipercayai menjadi lokasi pelancaran roket yang membawa senjata kimia.
Seperti dijangka, Rusia yang menjadi sekutu regim menggunakan kuasa vetonya ketika Majlis Keselamatan mengutuk serangan dan meminta Syria bekerjsama untuk membenarkan pasukan khas menyiasat dakwaan bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia ke atas orang awam.
Meskipun Mekanisma Siasatan Bersama (JIM) yang ditubuhkan PBB dan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) membuat kesimpulan regim bertanggungjawab menggugurkan bom yang berisi gas sarin ke atas bandar berkenaan, peranan yang dimainkan Rusia menjadikan Bashar begitu kebal dan tidak serik untuk melancarkan beberapa siri serangan yang sama ke atas rakyatnya sendiri yang dilabel sebagai pengganas.
Rakaman visual yang menunjukkan mangsa menggelupur beserta gambar-gambar yang penuh tragik hanya mampu tular dan berlegar-legar di media sosial.
Tumpuan berita hanya setakat itu kerana kini selepas tiga tahun, si pelaku yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia masih tidak menerima hukuman di atas jenayah perang yang dilakukan.
Sebahagian besar mangsa yang terselamat dalam peristiwa 4 April 2017 juga tidak lagi berada di Khan Sheikhoun selepas bandar itu berjaya dikuasai tentera Bashar dan sekutunya Rusia pada 21 Ogos 2019.
Mereka yang sebelum ini bernasib baik dalam serangan senjata kimia dan siri pengeboman serta pertempuran terpaksa melarikan diri ke utara Idlib.
Itu pilihan yang ada kerana jika terus berada di situ, ia bermakna mereka menempah maut kerana akan menjadi mangsa kezaliman regim.
Dalam keadaan yang serba daif, pelarian dari Khan Sheikhoun terpaksa berasak-asak bersama ratusan ribu yang lain mencari perlindungan ke kawasan bersempadan dengan Turki di utara Idlib.
Dalam kepayahan meneruskan hidup ketika ini satu lagi ancaman besar menanti mereka, wabak maut Covid-19.
Sebahagian besar pelarian tidak bersedia untuk menghadapi satu lagi malapetaka.
Ketika jumlah kematian di Turki melebihi 501 nyawa dengan jumlah yang dijangkiti virus itu mencecah 23,934 kes (4 April 2020), situasi sebenar di Syria masih “menjadi misteri”. Foto Syria Care.
Razali Awang
Media Syria Care
Caption : Kini selepas tiga tahun, si pelaku yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia ke atas penduduk Khan Sheikhoun masih tidak menerima hukuman di atas jenayah perang yang dilakukan.