Kapalterbang yang kami naiki tiba sejam lebih awal dari waktu yang dijadualkan. Rezeki kami. Jam 5.30 pagi sudah tiba di Istanbul.
Namun kerana perjalanan merentas zon waktu malam kami sangat panjang. Asal menjenguk luar tingkap Omma nampak bulan penuh menerangi angkasa. Terdetik dalam hati “ Bila nak subuh ni?”
Alhamdulillah segala urusan di lapangan terbang selesai tanpa ada sebarang masalah. Kenderaan untuk membawa kami ke tempat penginapan juga telah menunggu. Melangkah keluar sahaja kami disambut lelaki memegang placard tertulis Syria Care. Syukur dan terasa bangga.
Suhu pagi 4C terasa mencengkam. Alhamdulillah baju tebal yang dibawa dapat menahan angin sejuk itu.
Serba salah sewaktu packing baju. Tak tahu nak bawa baju apa kerana cuaca yang berubah-ubah antara pagi tengahari dan petang. Bak kata seorang kawan “Bila di Istanbul, dalam satu hari anda akan melalui 4 musim”
Setelah memunggah barang ke atas bas kami bergerak ke tempat penginapan untuk berehat. Apartment itu telah Omma duduki beberapa kali sebelum ini jadi tidak terasa janggal.
Namun Omma seperti masih kurang percaya yang Omma telah menjejaki kaki ke sini lagi setelah lebih setahun. Selepas berbagai dugaan yang dihadapi sebelum ini, Allah masih mengizinkan Omma dan team datang lagi.
Bersambung.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 12.0
Istanbul, Turki.
Sabtu 27/02/2021