Seorang pelarian Syria di kota London mengambil inisiatif menjual makanan negara asalnya dalam usaha mencari dana untuk membantu operasi hospital di utara Syria.
Hasil jualan set makanan yang berharga £15 atau RM82 akan digunakan untuk mengisi tabung Hospital Hope yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih suku juta pelarian di Aleppo.
Menurut pemilik Imad’s Choose Love Kitchen, Imad Al Arnab, dia bekerjasama a dengan badan amal Help Refugees, bagi memastikan hosital pediatrik itu terus beroperasi.
“Selama bertahun-tahun saya impikan. Dari hari pertama saya tinggalkan Syria sehingga sekarang, saya ingin menggunakan hasil masakan saya untuk berkongsi dengan orang lain, citarasa Syria.
“Restoran ini adalah untuk membalas jasa baik rakyat Britain yang menerima saya dan kepada rakyat Syria yang amat memerlukan bantuan kami sekarang'” katanya kepada portal Evening Standard.
Jelas Imad, dia menggunakan kemahiran memasaknya ketika melepasi Lubnan, Greece, Macedonia, Hungary, Austria, Jerman dan Perancis sebelum tiba di Britain, selepas melarikan dari negara asal pada 2015.
Ketika berada di Calais, Perancis, dia mula berkenalan dengan Help Refugee dengan membantunya memasak bagi menyediakan makanan kepada mereka yang senasib dengannya.
Bermula dari situ, dia saling bekerjasama.
Menurut Help Refugees, idea itu timbul sebagai salah satu kempen kesedaran dalam usaha membantu mangsa peperangan terutama selepas serangan besar-besaran di Syria, dua bulan lalu.
” Kempen pengeboman semasa adalah amat kejam dan kami tahu kami perlu lakukan sesuatu.
“Bekerja dengan Imad, kami mahu lakukan sesuatu yang positif di tengah-tengah bencana,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Help Refugees, Josie Naughton,
Bagi tujuan itu, operasi Imad’s Choose Love Kitchen yang terletak di Colombia Road, East London telah dibantu oleh sukarelawan Help Refugees sendiri.