Jom jadi seperti Rayyan!

71501264 971781913160728 8469880446371495936 O

Pada Oktober 2017 yang lalu, saya telah mengetuai Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0 Turki bersama beberapa orang petugas misi yang lain bagi melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan rakyat Malaysia kepada kami untuk menyampaikan bantuan kepada saudara Syria kita di Turki.

Apa yang menyentuh hati saya sepanjang misi ini adalah bila mana Allah telah mempertemukan saya dengan adik comel yang telah kehilangan sebelah kaki, Rayyan namanya.

Orangnya lemah lembut, ramah dan tak lokek dengan senyuman di bibir seolah-olah kami dah lama kenal antara satu sama lain. Walaupun adik comel ini telah kehilangan sebelah kaki akibat serangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab, namun adik comel ini tak pernah merungut dengan apa yang terjadi kepada beliau.

Perkara yang paling membuatkan saya sebak, bila adik Rayyan yang terpaksa menumpang di negara orang bersama keluarganya dek kerana dinafikan hak di negara sendiri telah mencipta gelang dan rantai hasil kerja tangan sendiri bagi dihadiahkan kepada rakan-rakan di sekolah dengan tujuan untuk mengurangkan kesedihan mereka. Allahu!

Benarlah firman Allah :
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…” (Al-Baqarah: 286)

Kalau kita di tempat adik Rayyan diuji sebegini rupa mungkin kita tak mampu untuk mengukir senyuman apatah lagi nak buat hasil tangan untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan yang senasib dengannya menjadi pelarian.

Jom! Jadilah seperti Rayyan. Seberat manapun ujian yang datang, tetap mampu untuk bermanfaat dan membahagiakan orang lain.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Pengerusi Syria Care
Shah Alam
30 September

#misikemanusiaansyriacare5
#throwback
#balingbelakang

Kongsi Artikel Ini