Projek: Wakaf Kampung Malaysia Syria Care

1. Kenapa projek wakaf perumahan ini dinamakan Projek Perumahan Pelarian Syria: Wakaf Kampung Malaysia Syria Care?

Projek ini dinamakan Projek Perumahan Pelarian Syria: Wakaf Kampung Malaysia Syria Care kerana ia dibangunkan hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia melalui Syria Care. 

Penyediaan tapak perumahan ini telah dimulakan dari bulan Mac 2020 dan pembinaannya bermula pada April 2020.

2. Dimanakah lokasi Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini dibangunkan?

Lokasi Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini dibangunkan di Al Bardaqli, Ad-Dana, utara Idlib, Syria.

Koordinat: 36.22771, 36.73787
Tekan pautan ini untuk lokasi pada Google Maps https://maps.app.goo.gl/BPKA41GB6tB372XA9

3. Adakah pembangunan projek Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini berada di dalam kawasan yang selamat?

Sewaktu pemilihan lokasi projek, faktor keselamatan telah menjadi indikator utama di dalam proses penilaian. 

Ia dikira masih di zon selamat kerana kawasan perumahan ini berada berhampiran dengan sempadan Syria-Türkiye dengan jarak 4 kilometer dan berada dalam perimeter kawasan jagaan kerajaan Türkiye.

4. Apakah status pemilikan tanah yang dibangunkan ini?

Tanah tersebut berada di kawasan wilayah Idlib, Syria namun diurus tadbir oleh pihak kerajaan Türkiye serta telah mendapat kebenaran untuk dibangunkan sebuah kawasan perumahan yang lengkap dengan fasiliti lain.

Rumah-rumah yang dibina juga tidak akan menjadi pemilikan kekal sebuah keluarga/individu pelarian.

Bagi memastikan keseluruhan kawasan dan bangunan dalam keadaan baik dan terjaga, seorang pegawai telah dilantik.

5. Berapakah saiz keseluruhan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care?

Saiz keseluruhan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini adalah 36,000.5 m2.

6. Berapakah jumlah kos pembinaan keseluruhan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care?

Kos pembinaan keseluruhan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini menelan perbelanjaan sebanyak RM5,023,272.42

7. Adakah Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini telah siap sepenuhnya?

Tidak, masih ada sebuah taman permainan lagi perlu dibina di dalam Wakaf Kampung Malaysia Syria Care.

Taman permainan ini akan dibina pada tapak yang bersaiz 300 m2 yang memberi kegembiraan dan keselesaan kepada penghuni Wakaf Kampung Malaysia terutamanya golongan kanak-kanak.

8. Selain pembinaan taman permainan, adakah dana lain yang diperlukan untuk Wakaf Kampung Malaysia Syria Care?

Dana lain yang diperlukan untuk Wakaf Kampung Malaysia Syria Care adalah untuk kos penyelenggaraan dan tambah baik infrastruktur keseluruhan kawasan perumahan ini.

9. Apakah bentuk penyelenggaraan dan tambah baik infrastruktur yang dilaksanakan?

Bagi memastikan keadaan infrastruktur dan fasiliti dalam keadaan terjaga dan berfungsi dengan baik untuk jangka masa panjang, penyelenggaraan dan tambah baik sangat diperlukan. 

Jenis-jenis Penyelenggaraan:

1) Penyelenggaraan Struktur Bangunan:

  • Rumah: Pemeriksaan berkala untuk memastikan struktur dalam keadaan stabil, pembaikan bumbung, dinding, dan asas.
  • Masjid, Sekolah, Pusat Perubatan dan Dewan Serbaguna: Pemeriksaan berkala untuk sebarang kerosakan, pembaikan untuk memastikan keselamatan dan fungsinya.
  • Premis Perniagaan dan Gudang: Penyelenggaraan kemudahan penyimpanan, pembaikan sebarang kerosakan.

2) Penyelenggaraan Utiliti dan Infrastruktur

  • Bekalan Air Bersih: Ujian berkala kualiti air, penyelenggaraan paip air dan sistem penapisan.
  • Pam Air: Pemeriksaan berkala bagi memastikan berfungsi dengan baik dan boleh digunakan secara hibrid mengikut musim.
  • Panel Solar untuk Elektrik: Pembersihan berkala, pemeriksaan, dan pembaikan panel solar dan sistem elektrik.

3) Penyelenggaraan Kemudahan Komuniti:

  • Jalan dan Laluan: Pembaikan berkala untuk mencegah lubang dan memastikan laluan selamat.

4) Sanitasi dan Kebersihan:

  • Pengurusan Sisa: Pengumpulan dan pelupusan sisa secara berkala, penyelenggaraan sistem pelupusan sisa.
  • Pembersihan: Pembersihan berkala kawasan keseluruhan perumahan termasuk masjid, sekolah, pusat perubatan, dan dewan serbaguna.

5) Penyelenggaraan Pencegahan:

  • Pemeriksaan dan pemeriksaan rutin yang dijadualkan untuk mencegah isu besar sebelum ia berlaku.

10. Apakah konsep wakaf yang ditawarkan untuk Projek Perumahan Pelarian Syria: Wakaf Kampung Malaysia Syria Care?

Konsep wakaf yang ditawarkan adalah wakaf tunai.

Dana wakaf tunai yang terkumpul akan digunakan untuk membiayai pembinaan bangunan, membeli peralatan serta keperluan dan penyelenggaraan keseluruhan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care.

11. Apakah pakej wakaf tunai yang ditawarkan?

Pakej wakaf tunai yang ditawarkan ada 2 pakej iaitu:

  1. Wakaf Tunai RM100.00
  2. Wakaf Tunai Seikhlas Hati (had minimum RM10.00)

12. Adakah wakaf tunai ini berbentuk bayaran bulanan atau sekali penyertaan?

Penyertaan wakaf ini adalah bersifat sekali penyertaan sahaja tanpa mengikat tuan/puan dengan sebarang komitmen bulanan. 

Namun, sekiranya tuan/puan berminat untuk melakukan wakaf atau infaq secara bulanan adalah sangat dialu-alukan dengan mendaftar ke program Auto Infaq melalui pautan ini https://www.syriacare.org.my/autoinfaq

13. Adakah penyertaan wakaf tunai terbuka kepada orang ramai?

Ya, penyertaan wakaf tunai ini terbuka kepada orang ramai.

14. Bagaimana dan di mana orang ramai boleh menyertai wakaf tunai ini?

Penyertaan wakaf tunai ini boleh disertai dengan membuat pembayaran melalui laman sesawang rasmi Wakaf Kampung Malaysia Syria Care iaitu https://syriacare.org.my/wakafkampungmalaysia/

15. Apakah bukti penyertaan wakaf tunai yang akan diberikan?

Pewakaf akan menerima e-resit dan akan dihantar terus ke email yang didaftarkan. E-resit ini hanya akan diterima setelah bayaran dilakukan. E-resit ini adalah resit rasmi yang dikeluarkan oleh Syria Care.

16. Bagi setiap penyertaan wakaf tunai, adakah ia akan nama pewakaf akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Syria Care atau mana-mana platform rasmi Syria Care?

Nama pewakaf tidak akan dipaparkan pada laman sesawang rasmi Syria Care atau mana-mana platform rasmi Syria Care.

17. Bolehkah pembayaran bagi penyertaan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care disalurkan terus ke bank akaun Syria Care?

Boleh. 

Selain penyertaan melalui laman sesawang rasmi Wakaf Kampung Malaysia Syria Care, penyertaan wakaf tunai juga boleh disalurkan secara transaksi melalui pindahan atas talian atau dimasukkan terus melalui mesin ATM/CDM/Cheque Deposit ke akaun bank rasmi Syria Care iaitu:

  • Maybank Islamic: 5505 1424 0096

*Sebarang bukti transaksi mestilah dihantarkan ke email info@syriacare.org.my atau melalui aplikasi Whatsapp kepada Eksekutif Dana di talian +6013-9715901 beserta “rujukan transaksi: wakaf tunai” untuk urusan rekod dan resit rasmi.

Namun, adalah dinasihatkan agar para pewakaf untuk menggunakan laman sesawang rasmi Wakaf Kampung Malaysia Syria Care: https://syriacare.org.my/wakafkampungmalaysia/  bagi memudahkan urusan.

18. Bagaimanakah cara bagi pewakaf yang berada di luar Malaysia untuk menyertai projek wakaf ini?

Semua pewakaf boleh melayari laman sesawang Wakaf Kampung Malaysia Syria Care: https://syriacare.org.my/wakafkampungmalaysia/  atau melalui transaksi melalui pindahan atas talian (sila rujuk maklumat di nombor 17). 

Penyertaan Wakaf Kampung Malaysia Syria Care dibuka sepanjang masa.

19. Adakah penyertaan secara atas talian di laman sesawang rasmi Wakaf Tunai Kampung Malaysia akan dikenakan caj tambahan?

Tiada sebarang caj tambahan yang dikenakan.

20. Berapakah had minimum dan maksimum untuk penyertaan Wakaf Tunai Kampung Malaysia?

Had minimum wakaf tunai adalah RM10.00 dan pilih Wakaf Tunai Kampung Malaysia Seikhlas Hati. 

Tiada had maksimum bagi penyertaan wakaf tunai ini.

21. Bolehkah wakaf tunai dibuat atas nama orang yang telah meninggal?

Boleh. 

Namun penyertaan hendaklah didaftarkan atas nama wakil yang masih hidup.

22. Adakah sampai niat sedekah pahala kepada si mati/arwah?

Para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan boleh disedekahkan pahalanya kepada si mati. Ia adalah amalan berikut: Wakaf dan sepertinya, Doa dan istighfar, Apa-apa jenis ibadah yang boleh diwakilkan (seperti haji)

Sumber rujukan: https://wakafpahang.my/soalan-lazim/

Bertanya seorang sahabat kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal dunia. Adakah jika aku bersedekah untuknya, maka pahala sedekah ini memberi manfaat kepadanya?” Nabi menjawab “Ya”. 

(Riwayat Abu Daud & Tirmizi)

Sumber rujukan: Hasyiah Ibn ‘Abidin 1/605, Nihayatul Muhtaj 6/92

23. Bolehkah sekiranya saya mewakilkan pihak lain untuk menunaikan wakaf saya kepada Syria Care?

Boleh dengan syarat wakil perlu memberikan maklumat pewakaf yang lengkap bagi memudahkan pihak Syria Care mengeluarkan resit rasmi untuk tujuan simpanan tuan/puan.

24. Jika saya menjumpai duit yang tidak tahu pemiliknya, bolehkah saya mewakafkan duit tersebut?

Tidak boleh, kerana bukan sempurna milik.

25. Apakah syarat orang yang ingin berwakaf?

i) Baligh
ii) Berakal
iii) Harta yang hendak diwakafkan hendaklah dimiliki penuh oleh pewakaf
iv) Berwakaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan dari sesiapa.

26. Adakah boleh berwakaf tanpa memaklumkan nama pewakaf?

Boleh.
Pewakaf hanya perlu menyatakan wakaf tunai tersebut atas nama Hamba Allah sahaja.

27. Adakah dibolehkan berwakaf dengan menggunakan nama syarikat/organisasi?

Boleh, dengan mendaftarkan nama syarikat/organisasi sebagai pewakaf. 

Resit rasmi akan dikeluarkan atas nama syarikat/organisasi.

28. Bagaimana memperoleh perkembangan terkini tentang projek Wakaf Kampung Malaysia Syria Care ini?

Boleh layari ke laman media sosial rasmi Syria Care Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini.