Jangan cari pasal dengan kamera

Untitled

 

Pengalaman ditengking dan dimarahi di hari pertama ketika berada di Killis, Turki menjadi mukadimah pengalaman masam manis anggota Misi Kemanusiaan Syria Care 6.0 di negara itu.

Segalanya bermula apabila pasukan media sibuk merakam gambar yang menunjukkan anggota misi dan pekedai memunggah barang ke dalam kenderaan untuk diagihkan kepada pelarian Syria di situ.

Ketika keasyikan berbuat demikian, secara tiba-tiba datang seorang lelaki bermotorsikal dalam pertengahan usia menghemburkan kata-kata amarahnya.

Ia tidak dipedulikan kerana kami tidak faham sepatah haram apa yang diluahnya, sehinggalah seorang lelaki tua dari dalam kedai keluar dan bertikam lidah dengannya.

Alhamdulillah, suasana tegang berakhir di situ selepas dua tiga orang lagi lelaki yang berada berhampiran keluar walaupun pak cik yang mempertahankan kami tadi kelihatan masih tidak puas hati.

Ia memberi pengajaran bahawa dalam dunia yang semakin canggih, masih ada segelintir masyarakat yang melihat lensa kamera sebagai sesuatu yang “taboo”.

Insiden itu tidak sedikitpun menjejaskan misi Syria Care di hari pertama di Kilis.

Di hari kedua, seperti yang diingatkan Pejabat Mufti Kilis, semua kami meninggalkan kamera di hotel, apa yang kami bawa hanyalah telefon pintar.

Ia menjadikan perjalanan misi berjalan lancar kerana ketika melepasi pintu sempadan Kilis menuju ke Azzaz, Syria, semua beg diperiksa bagi memastikan tiada kamera dibawa.

Namun ketika melewatinya, tidak semua objek boleh dirakam.

Subjek-subjek sensitif anggota keselamatan dan pos kawalan keselamatan masih menjadi larangan. Dalam erti kata mudah ikut segala arahan, jangan cari nahas yang boleh mengundang bala.

Sebaik berada di kem pelarian, kekangan yang sama masih menjadi dugaan. Tidak semua pelarian ingin wajah mereka dirakam atas faktor budaya dan fahaman agama.

Begitupun, ia cabaran kecil kerana nawaitu misi ke sana adalah untuk mengagihkan bantuan.

Berbekalkan telefon pintar, sama ada profesional atau amatur, semua anggota misi menggunakan kemahiran dan bakat masing untuk merakam gambar serta visual ketika dua hari berulang alik ke dalam Syria dari Turki.

Untuk tatapan lanjut gambar dan visual yang dirakam sepanjang Misi Kemanusiaan Syria Care 6.0, sila layari : https://www.facebook.com/syria.care/?ref=br_rs

Razali Awang
Media Syria Care.

Kongsi Artikel Ini