Isu Syria: Rela mati dari berpisah

Whatsapp Image 2019 10 03 At 1.03.23 Pm

Tindakan sekumpulan pelarian wanita di kem Al Hol membantah dasar pengganas Kurdish (YPG) memisahkan anak-anak mereka berakhir dengan tragedi.

Menurut agensi berita Turki, Anadolu, salah seorang daripada ibu malang berkenaan maut selepas digempur ketika mengadakan tunjuk perasaan.

Dalam kenyataannya pada 30 September lalu, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), badan sukarela yang beroperasi di Al Hol, mengesahkan insiden yang berlaku.

“Pasukan kami ketika itu menyediakan rawatan harian termasuk di klinik di kawasan terpencil yang menempatkan sekitar 10,000 orang asing (bukan Syria atau Iraq) apabila pihak berkuasa yang mengawal bertembung dengan wanita dan kanak-kanak,” kata Pengurus Kecemasan MSF Robert Onus.

Bagaimanapun laporan yang disiarkan tidak memberi sebarang perincian mengenai identiti mangsa.

Bantahan timbul selepas YPG memperkenalkan polisi yang mengasingkan ibu dengan anak-anak yang berusia 12 tahun ke bawah.

Sebelum itu kebanyakan kaum hawa mengadakan bantahan secara aman berikutan keadaan kem yang begitu dhaif.

Kematiannya dikatakan antara siri kekejaman terbaru yang dilakukan pengganas Kurdish ke atas pelarian kebelakangan ini.

Julai lalu, mereka dilaporkan menculik, mendera serta kencing ke atas satu keluarga Arab yang melalui kawasan yang dikuasainya.

Pada Ogos satu rakaman menunjukkan anggota YPG memukul dan mendera dua lelaki kerana enggan menyertainya bocor dan kemudian menjadi tular.

Mereka juga dikatakan menyerbu pekan serta kampung dan menculik kanak-kanak dan remaja untuk dilatih sebagai pengganas.

Sebahagian besar pelarian yang berada di kem Al Hol terdiri daripada orang awam yang berasal dari Deir az Zour dan mereka dikatakan ahli keluarga anggota IS.

Pada masa kini terdapat lebih 70,000 pelarian berada dalam keadaan penuh sesak dan berdepan dengan kekurangan zat makanan serta wabak penyakit.

Middleeastmonitor.com mendakwa kebanyakan mereka ditempatkan secara paksa oleh YPG pada April 2017 selepas kawasan itu berjaya dikuasai dalam operasi besar-besaran yang membabitkan tentera Barat.

Dalam laporannya pada 18 September lalu, wartawan CNN, Arwa Damon yang berjaya memasuki Al Hol menyifatkan ia bukannya kem pelarian tetapi penjara terbuka yang menempatkan orang awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini berkali-kali memberi amaran keadaan yang semakin buruk di situ dan mendesak diberi kebenaran untuk memasukinya.

Namun ia tidak dilayan. /Foto foreignpolicy.com

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini