Isu Syria : Bermuka-muka untuk selesai konflik

Whatsapp Image 2019 11 13 At 8.51.22 Am

Pembunuhan beramai-ramai, keganasan, penculikan dan segala bentuk siksaan menjadi perkara harian di Syria

Selepas menjangkau hampir sembilan tahun, seakan tiada satu jaminan mereka yang terperangkap dalam kancah ini akan terlepas dari kemelut yang berlaku

Regim Bashar al Assad bersama sekutunya, Moscow tetap dengan cara yang sama, menyerang dan mengebom orang awam tanpa henti.

Amerika Syarikat terus “berdrama” demi kepentingan hasil bumi dan Turki dengan strategi demi strategi bagi melindungi negaranya dari kesan konflik.

Sehingga kini, tiada satupun penyelesaian yang dicapai untuk menghentikan konflik apatah lagi membela nasib orang awam.

Atas alasan menghapuskan ancaman kumpulan penentang, regim dan sekutunya masih berleluasa melancarkan serangan sampaikan semua yang bernyawa daripada manusia sampai ke haiwan dan tanaman, semua cuba dimusnahkan.

Tiada langsung rasa belas apatah lagi simpati.
Lihat apa yang berlaku dalam serangan ke atas Shanan, di selatan Idlib pada Selasa (12 November 2019). Sekurang-kurangnya sembilan nyawa melayang selepas rumah tempat mereka berlindung dibom di siang hari.

Tahukah anda siapa yang jadi korban?.

Lima daripada mereka adalah kanak-kanak yang baru mengenal dunia. Adakah ini yang dilabel pengganas?.

Sehari sebelum itu, tujuh maut di Kafroma, juga di selatan Idlib.

Itu cerita bab pengeboman. Seandainya ingin ditulis, tiada kesudahan mengenai kezaliman yang terpaksa dilalui penduduk Syria.

Bila nyawa manusia tiada harga, angka yang dicatat tidak memberi sebarang makna.

Bukan seratus, seribu, seratus ribu tetapi ia kini telah melebihi setengah juta nyawa manusia melayang begitu sahaja di bumi Syam.

Siapa peduli dengan laporan bulanan setebal yang dikeluarkan Syrian Network for Human Rights (SNHR) untuk bulan Oktober lepas?.

Rekod yang mengesahkan sekurang-kurangnya 171 orang awam termasuk dua petugas media terbunuh dalam konflik sepanjang bulan Oktober 2019 di Syria tidak memberi apa-apa impak kepada masyarakat antarabangsa.

Cerita mengenai 27 orang yang menemui ajal akibat disiksa, hanya berakhir atas kertas.

Bahkan ulasan mengenai jenayah pembunuhan menjadi semakin berleluasa dan dibuat dengan lebih sistematik terutama oleh tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya tidak membawa sebarang makna.

Itu untuk laporan bulan Oktober 2019, bagaimana dengan laporan-laporan sebelum ini?.

Ia sekadar menjadi catitan…

Itulah senario yang terpaksa dilalui mangsa konflik di Syria. Banyak pihak yang bersuara tetapi bermuka-muka.

Hakikatnya tiada siapa peduli apatah lagi menghentikan “azab” yang mereka ditempuhi. /Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Caption: Itulah senario yang terpaksa dilalui mangsa konflik di Syria. Banyak pihak yang bersuara tetapi bermuka-muka. Hakikatnya tiada siapa peduli apatah lagi menghentikan “azab” yang mereka ditempuhi.

Kongsi Artikel Ini