Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi kerana misi kemanusiaan dari Syria Care, telah selamat menjalankan projek berbuka puasa bersama saudara-saudara kita yang jauh di negara yang mempunyai persilangan dua peradaban Barat dan Timur ini. Projek yang telah dijalankan bermula dari 15 Jun 2015 ini adalah projek daripada Syria Care dalam misi menyampaikan bantuan bagi rakyat Syria. Walaupun kumpulan kami hanya dapat menjejakkan kaki di bahagian sempadan sahaja tetapi projek ini akhirnya dapat dilaksanakan. Pelarian-pelarian dari bumi Syria yang berkampung di sempadan Turki telah memeriahkan projek yang telah dilakukan ini. Walaupun masa yang agak panjang diambil untuk kumpulan kami tiba tetapi perasaan yang begitu damai dirasakan oleh ahli kumpulan kami setelah tiba di bumi penuh barakah ini, antara bumi anbiya dan bumi yang pernah memperlihatkan sejarah kegemilangan Islam melalui tokoh-tokoh yang bermula daripada Khulafah-Khulafah dari zaman Nabi sehinggalah zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah.
Projek yang dijalankan oleh pasukan kami bermula dari tarikh 7 Ramadhan 1436H. Sepanjang dua minggu lebih keberadaan kami di bumi Turki ini, setiap hari iftar adalah di tempat-tempat yang berbeza. Selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 7, 8 dan 9 Ramadhan kami berbuka puasa di Idlib, 12 Ramadhan di Timur Ghoutah, 15 Ramadhan di selatan Damsyik dan seterusnya kami kembali ke Idlib kembali.
Kami ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kekuatan dan ketabahan kepada kami dan semua yang terlibat menyumbang harta dan tenaga bagi menjayakan projek ini. Wajah-wajah kegembiraan yang terpancar dari jiwa remuk mereka menggetarkan tangkai-tangkai hati kami yang melihat apabila pasukan kami tiba bersama dengan bekalan makanan untuk bersama-sama mereka berbuka puasa. Apabila melihat kedatangan pasukan kami yang ingin bersama-sama melakukan aktiviti memasak untuk berbuka puasa bersama, kebahagiaan jelas terpancar di wajah suci anak-anak kecil yang sudah lama menahan pedihnya rasa lapar yang berterusan, begitu juga kegembiraan yang terpancar di wajah-wajah orang tua mereka yang kelihatan jelas kedutan dan keringat yang menceritakan bertapa sengsaranya mereka bagi setiap detik helaan nafas mereka di tempat yamg menjadi taman permainan Bashar itu. Sungguh perasaan sedih yang sangat mendalam dapat kami rasa apabila dapat memberi makanan kepada mereka dan senyuman ikhlas yang mereka ukirkan sebagai tanda penghargaan atas usaha kecil kami ini amat memberi makna pada diri kami.
Pengorbanan kecil kami ini bermula daripada 7, 8, 9, 12, 15, 19 sehingga 20 Ramadhan. Sepanjang bersama mereka, jelas terpancar rasa bahagia mereka, ikhlas menerima kunjungan dari pasukan kami. Perasaan bersama-sama saudara-saudara Syria ini umpama berada bersama keluarga sendiri di sebuah rumah. Sepanjang menjalankan projek iftar ini, setiap petang kami akan melakukan aktiviti memasak bersama. Setiap petang akan kelihatan orang-orang dewasa daripada pasukan kami dan saudara Syria sendiri akan membanting tulang bersama-sama memotong sayur, di bahagian lain meriah kelihatan mereka memasak nasi bersama, golongan kanak-kanak pula kelihatan bermain-main sambil menunggu makanan siap dimasak. Wajah bahagia dan penuh pengharapan mereka ini amat meruntun hati yang memandang. Sayu kelihatan wajah-wajah yang tidak mengerti apa-apa ini. Riuh rendah bunyi perbualan menggamit rasa hati dan berdetik di hati kecil kami, “alangkah berertinya jika situasi ini berkekalan”.Tetapi malangnya entah bila kebahagiaan bakal dikecap oleh mereka. Pada waktu malamnya pula, kami bersama-sama akan melakukan solat tarawih dan begitulah di hari-hari seterusnya, sepanjang keberadaan kami di bumi yang memperlihatkan penderitaan saudara-saudara kita ini.
Hari-hari setiap saat dapat bersama mereka begitu berharga sekali sehinggalah di hari terakhir kami berada di sana. “Wahai saudaraku kami akan datang lagi” begitulah apa yang terdetik di hati kami diiringi dengan linangan airmata, tetapi dalam masa yang sama mengharapkan mereka kuat menghadapi ujian hebat ini, pasukan kami telah bersedia melangkah dengan ucapan selamat tinggal. Wajah kesedihan atas pemergian kami jelas kelihatan di setiap inci wajah mereka yang menghantar kepulangan kami. “Kami akan kembali..”laung salah seorang dariapada ahli kami sebelum kenderaan kami bergerak meninggalkan kawasan pelarian itu.