IDLIB SELEPAS TIMUR GHOUTA?

Whatsapp Image 2018 04 16 At 09.05.44

Malapetaka kemanusiaan besar akan berlaku sekiranya regim Bashar al Assad menjadikan Idlib kawasan sasaran selanjutnya selepas Timur Ghoutah berjaya dikuasai sepenuhnya.

Amaran itu dibuat Menteri Luar Perancis, Jena-Yves Le Drian berikutan kenyataan salah seorang pegawai kanan Iran di Damsyik yang berharap Idlib akan dapat dikuasai semula tentera regim dan sekutunya, selepas kawasan pinggir Damsyik jatuh ke tangan mereka.

Ketika ditemuramah Le Journal du Dimanche, beliau berkata dengan kepadatan pelarian yang telah mencecah dua juta orang, sebarang tindakan ketenteraan akan membawa risiko bencana kemanusiaan baru.

Sementara itu pakar mengenai Syria di Universiti of Edinburgh, Thomas Pierret berpendapat sebaliknya.

Beliau melihat, Daraa akan menjadi sasaran baru tentera regim Bashar dan sekutunya.

“Kemungkinan Daraa kerana lebih penting dari sudut ekonomi dan membuka semula dagangan dengan Jordan,” katanya seperti dilapor Middle East Eye.

Turut sependapat dengan Pierret, Ketua Pusat Pengajian Strategik Damsyik, Bassam Abou Abdallah.

“Selepas Ghoutah nampak seperti kerajaan Syria menghala ke selatan-dalam keadaan sekarang Daraa mesti dikuasai,”katanya.

Menurut Bassam, usaha menawan semula kawasan berkenaan akan dibuat dengan berhati-hati bagi mengelak tercetusnya pertempuran antara tentera kerajaan dengan askar Israel, yang berada berhampiran wilayah itu.

Dalam perkembangan yang sama, Al Masdar News, portal pro Hezbollah melaporkan regim Bashar dan konco-konconya menggerakan sejumlah besar ketumbukan askar menghala ke bahagian selatan Damsyik bagi menguasai Al Qadam, Tadamon dan Kem Yarmouk, yang masih dikuasai kumpulan IS.

Kongsi Artikel Ini