Idlib: Rusia, Turki setuju wujud DMZ

Rusia memberi jaminan bahawa tentera regim Bashar al Assad tidak akan memerangi kumpulan penentang anti kerajaan di Idlib pada masa terdekat.

Janji itu dibuat selepas Presiden Vladimir Putin mengadakan mesyuarat tergempar dengan rakan sejawatnya dari Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan di Sochi, ketika ketegangan di wilayah itu memuncak.

Hasil pertemuan yang diadakan pada Isnin, kedua-dua mereka bersetuju untuk membentuk zon bebas tentera (DMZ) dalam lingkungan 15 hingga 20 kilometer antara tentera Bashar dengan kumpulan anti kerajaan yang akan dilaksana pada 15 Oktober 2018.

Melaui keputusan yang dicapai, Ankara dan Moscow berkata mereka akan mengawal kawasan yang menjadi zon penampan selepas penentang bersenjata seperti Hayat Tahrir al Sham (HTS) dikeluarkan dari situ.

Selan itu mereka juga dikenakan syarat supaya menyerah semua senjata berat sebelum 20 Oktober.

“Pembangkang akan terus kekal di kawasan mereka berada sekarang. Sebagai ganjaran, kami akan pastikan kumpulan berfahaman pelampau, yang akan diputuskan oleh Rusia, tidak berada di kawasan yang dibincangkan,” kata Erdogan seperti yang dilapor Middle East Eye.

Katanya lagi, melalui persetujuan berkenaan, ia dapat mengelak krisis kemanusiaan dari berlaku di Idlib.

Bagaimanapun pada sidang akhbar yang diadakan, kedua pemimpin itu tidak memperincikan maksud “kumpulan berfahaman pelampau” dengan kumpulan penentang anti kerajaan lain yang ada di Idlib.

Sementara itu, Putin mendakwa, pendekatan berkenaan telah disokong Presiden Bashar.

Razali Awang Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini