IDLIB JADI VERSI BARU NERAKA-CNN

Jpeg
Berbeza dengan Timur Ghoutah yang terletak di pinggir Damsyik, lokasi Idlib yang bersempadan dengan Turki memberi sedikit kelebihan kerana tidak boleh dikepung oleh tentera regim Bashar al Assad. Apa yang boleh dilakukan hanya membantai penduduk awam dari serangan udara dan asakan tentera dari arah tertentu.
 
Namun begitu, operasi tanpa henti regim dan sekutunya Rusia menguasai wilayah berkenaan memberi kesan sama kepada pelarian. Selepas dihambat, lebih 100,000 penduduk yang cuba menyelamatkan diri dari pertempuran menuju ke kawasan sempadan Syria-Turki untuk menyelamatkan diri.
 
Pertambahan itu menyesakkan lagi jumlah pelarian sedia ada di wilayah berkenaan yang dilapor mencecah tiga juta orang.
 
Keadaannya kini semakin sukar berikutan musim dingin di mana ada kalanya suhu jatuh menjunam sehingga 1 Selsius.
 
Dalam tulisannya, penganalisis CNN, Nick Paton Walsh menyifatkan perkembangan yang berlaku di Idlib sekarang menjadi versi mutakhir neraka dunia.
 
Katanya, jika sebelum ini, pelarian menganggap ia kawasan yang lebih selamat berbanding tempat lain di Syria, tetapi serangan terbaru tentera regim dan sekutunya menambahkan lagi kesengsaraan.
 
Penduduk yang tiada pilihan dan cuba mencari perlindungan ke kawasan utara, tetapi dalam keadaan yang penuh sesak, cuaca buruk dan serba kekurangan, serta serangan tanpa henti, ia mencetuskan krisis baru kemanusiaan.
 
Wilayah Idlib yang sebelum ini diisytihar zon bebas perang oleh Bashar yang dipersetujui bersama Rusia, Iran, Turki serta Arab Saudi menjadi satu-satunya kawasan yang dikuasai penuh pelbagai kumpulan anti kerajaan termasuk Hayat Tahrir al-Sham (HTS) kumpulan yang satu ketika dahulu pernah bersekutu dengan Al Qaeda.
 
Selain HTS, Jaish al Izzah dan Free Syrian Army yang disokong Turki, turut berkuasa di kawasan berkenaan.
 
Kewujudan pelbagai kumpulan menyebabkan tentangan mereka ke atas kerajaan lemah kerana ada kalanya berlaku pertempuran sesama sendiri.
 
Menurut Syrian Observatory for Human Right(SOHR), tentera kerajaan yang disokong sekutunya, Rusia dan Hizbullah telahpun mara lebih jauh ke dalam wilayah itu dan dilapor telah berjaya menguasai bandar Sinjar yang terletak kurang 20 kilometer dari Pengkalan Udara Abu Zohour.
 
Usaha menawannya dibuat bagi memastikan laluan Damsyik-Aleppo yang merentasi Idlib yang dikuasai kumpulan penentang pada 2015, dibuka semula sekaligus membantu kekuatan logistik dalam usaha menghapuskan ancaman kumpulan penentang.
 
 
 

Kongsi Artikel Ini