HORMATI UNDANG-UNDANG TURKI

IMG_3672
 
ANKARA-Turki : Mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan kepada pelarian Syria melalui Turki perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara itu.
 
Duta Besar Malaysia ke Turki Datuk Abdul Razak Abdul Wahab menegaskan, ia bagi mengelak sebarang kesulitan yang mungkin timbul kerana ia membabitkan pelbagai aspek termasuk faktor keselamatan.
 
“Maklumlah sekurang-kurangnya pergerakan.
 
Kalau tidak maklum kepada kedutaan, maklumkanlah kepada pihak-pihak tertentu, sekurang-kurangnya, hari ini di sini, esok di sana dan sebagainya sebab kita tidak ada kedutaan di Syria, kita tutup sebab berlaku perang saudara ini,” katanya kepada rombongan Syria Care, yang diketuai Pengerusinya Siti Sakinah Meor Omar Baki ketika berkunjung di Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, pada Rabu.
 
Jelas Abdul Razak lagi, keadaan itu menyebabkan kebanyakan proses penghantaran kepada pelarian terpaksa dibuat melalui Turki dan di negara itu sendiri pada masa sekarang terdapat lebih tiga juta pelarian Syria yang mencari perlindungan.
 
Mengulas isu yang sama, beliau turut menasihat mana-mana NGO Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan supaya menjalin kerjasama dengan rakan kongsi tempatan yang diiktiraf Ankara kerana ia akan memudahkan pelbagai urusan termasuk pengagihan.
 
“Sekiranya kita tidak bekerjasama dengan rakan pasukan kita yang tidak mendapat pengiktirafan, kita akan hadapi banyak masalah terutama bila sampai ke Hatay, nak masuk ke sempadan dan sebagainya, jadi perkara-perkara ini akan sulit,” katanya yang menyambut baik langkah yang diambil Syria Care berhubung pendekatan itu.
 
Dalam kunjungan yang berlangsung hampir 45 minit itu, Siti Sakinah menjelaskan pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan tujuh NGO di dalam Syria bagi memastikan proses pengagihan bantuan berjalan lancar.
 
Manakala pemilihan agensi berkenaan dibuat melalui yang ketat termasuk saringan daripada pihak keselamatan Malaysia.
 
Sementara itu dalam isu yang lain Abdul Razak menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melawat Turki termasuk agensi pelancongan yang membawa mereka supaya memberi maklumat kunjungan mereka kepada pihak kedutaan bagi tujuan keselamatan dengan menyatakan lokasi lawatan dan tempat penginapan.
 
“Sebab negara ini kalau kita lihat pada tahun sudah. Dah setahun lebih sikit dah, baru berlaku cubaan rampasan kuasa. Jadi tahulah bila berlaku cubaan rampasan kuasa, banyak benda-benda yang di luar jangka akan berlaku termasuk pengeboman dan sebagainya. Kita tidak tahu, ia boleh berlaku di mana-mana. Jadi kalaulah berlaku, rakyat Malaysia di Turki pada masa it, semua menjadi tanggungjawab kedutaan,” katanya.
 
 

Kongsi Artikel Ini