Douma menjadi satu-satu kawasan di Timur Ghoutah yang dikuasai kumpulan penentang dan masih memberi tentangan kepada regim Bashar al Assad dan sekutunya.
Selepas berjaya mengusir kumpulan anti kerajaan dengan strategi tinggal atau mati, Damsyik kini menguasai 90 peratus kawasan yang terletak di pinggir Damsyik itu.
TRT World melaporkan susulan kejatuhan Harasta dan Arbin, konco setia Damsyik, Rusia sedang melakukan perbincangan bagi membawa keluar kumpulan berkenaan dan orang awam.
Dalam dua rundingan sebelum ini, semua mereka yang bersetuju untuk dibawa keluar dari Harasta dan Arbin, telah diangkut dengan bas menuju ke Idlib yang menjadi satu-satunya wilayah yang dikuasai kumpulan penentang.
Sementara itu usaha memindah keluar pejuang dan orang awam dari Arbin yang sepatutnya bermula jam 9 pagi waktu tempatan semalam tertangguh dan hanya bermula selepas matahari terbenam.
Bas yang sepatutnya mengangkut mereka hanya tiba selepas jam 4 petang waktu tempatan dan kelewatan dikatakan berpunca dari faktor logistik.
Bagi kumpulan pertama, 17 buah bas telah digunakan untuk membawa 981 orang.
Dalam perkembangan yang sama, siaran langsung turut dipancarkan media kerajaan menunjukkan lapan tentera regim yang sebelum ini menjadi tahanan Faylaq al-Rahman dibebaskan, sebagaimana persetujuan yang dicapai.
Proses pemindahan dari Arbin akan disambung semula pada Ahad dan ia dijangka melibatkan 7,000 orang awam di kawasan itu.