Pergerakan Hamas merayu pihak yang bertempur di kawasan Kem Yarmouk supaya tidak membabitkan pelarian Palestin yang berada di situ.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ia meminta supaya pertempuran yang sedang berlaku dihentikan segera.
“Penderitaan penduduk Palestin mesti diakhiri, mereka semua adalah pelarian. Mereka semua menyimpan harapan untuk pulang ke tanahair, bandar dan kampung yang ditinggalkan dan diduduki Israel,” kata jurucakapnya, Abdel Latif Al Kanou.
Sekurang-kurangnya 20 orang awam dilaporkan terbunuh selepas seminggu serangan besar-besaran dilancarkan regim Bashar dan sekutunya ke atas kawasan yang terletak di selatan Damsyik itu.
Keadaan orang awam yang terperangkap dilapor semakin kritikal apabila tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya melancarkan serangan bertubi-tubi dan cuba mara dari bahagian selatan kem yang menempatkan lebih 2,500 keluarga pelarian Palestin.
Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menganggarkan 12,000 pelarian Palestin sedang terperangkap di dalam kem Yarmour dan kawasan sekitarnya.
Dalam kenyataan yang dibuat di Brussel, Belgium, Pesuruhjaya Kanan UNWRA, Pierre Krahenbuhl, berkata, pihaknya mempunyai akses yang amat terhad untuk menyediakan bantuan kemanusiaan ke Kem Yarmouk.
Usaha itu juga sukar kerana kebanyakan mereka berada dalam keadaan berselerak.
Nasib sebenar pelarian Palestin yang terperangkap berikutan serangan sengit yag dilancarkan juga masih tidak diketahui .
Selain serangan peluru berpandu darat ke darat, bom barel dan tembakan mortar bertubi-tubi dari regim Bashar al Assad serta sekutunya , ancaman kumpulan IS yang menguasai sebahagian besar kawasan di situ menyebabkan sebarang usaha membantu pelarian Palestin di Kem Yarmouk mustahil dilakukan.